Politik – Bukan Sekadar Ber-Baris Ataupun Ber-Pakat.

Posted on December 29, 2011

2


“Hari-hari berbelanja pakai duit PTPTN, tapi nak melawan BN, tak bersyukur lagi ke?”

“Saya tak paham padahal UiTM sebagai universiti kerajaan dah membantu anak Melayu kita untuk memberi pendidikan, tapi ada juga yang mengutuk tindakan kerajaan.”

“Kita masuk UiTM ni untuk belajar, bukan nak berpolitik!”

Nampaknya politik di mata para mahasiswa khususnya mahasiswa UiTM sangatlah sempit.

Bagi mereka, adalah haram sama sekali untuk mahasiswa UiTM untuk mengutuk tindakan kerajaan.

Bagi mereka, adalah haram sama sekali untuk melawan Barisan Nasional.

Bagi mereka, adalah haram sama sekali menyokong parti-parti lain selain Barisan Nasional.

Bagi mereka, adalah haram sama sekali untuk mahasiswa berpolitik.

Bagi mereka, yang halal itu adalah dengan cara bersyukur kerana kerajaan telah memberi peluang kepada mereka untuk belajar di UiTM.

Bagi mereka, yang halal itu adalah dengan menjauhkan diri daripada politik dan belajar sahaja untuk mendapatkan keputusan yang bagus untuk mendapatkan pekerjaan yang baik pada masa hadapan.

Oleh itu, ingin saya katakan di sini, sangat cetek pemikiran sebilangan besar mahasiswa UiTM kerana politik di mata mereka adalah politik parti semata-mata, dan adalah salah di mata mereka untuk mahasiswa berpolitik.

Nampaknya mereka gagal untuk memahami fungsi-fungsi politik dalam masyarakat. Bagi mereka, politik itu parti, parti itu politik.

Politik sebenarnya ya para mahasiswa, adalah lebih daripada itu. Politik adalah lebih daripada parti berentitikan Barisan Nasional ataupun parti yang melengkapi Pakatan Rakyat.

Politik adalah sebahagian daripada kehidupan kita di dunia ini.

Politik boleh disimpulkan sebagai sesuatu cara untuk mencapai tujuan tertentu. Politik juga boleh disimpulkan sebagai suatu proses di mana sekumpulan masyarakat membuat sesuatu keputusan secara berkumpulan untuk kebaikan bersama.

Mungkin sangat cetek pemikiran sebilangan besar mahasiswa UiTM kerana mereka tidak sedar bahawa di dalam kampus juga adanya politik?

Salah satu isu yang paling dekat dengan mahasiswa ialah isu tempat parkir kereta di kampus. Selalunya para mahasiswa akan membawa isu mengenai tempat parkir kereta ini kepada MPP kerana mereka percaya para MPP lah yang sepatutnya menyuarakan masalah tersebut kepada pihak atasan kerana mereka telah memilih MPP dengan cara mengundi dalam proses pilihanraya kampus.

Ya, wujudnya politik dalam kampus kita wahai mahasiswa.

Ya, politik bukanlah atas dasar parti semata-mata tetapi ia adalah sebahagian daripada hidup kita.

Oleh itu mahasiswa sekalian, bukalah mata, luaskan pemikiran.

About these ads
Posted in: Pierre Castro