Akhbar & Mahasiswa

Posted on September 29, 2010

1


Perkataan ‘tabloid’ yang diletakkan pada nama ‘akhbar’ ini memberi suatu imej yang dipenuhi dengan gosip artis, gambar selebriti yang semuanya berbulu mata palsu, mekap tebal, fitnah sensasi dan pelbagai lagi cerita dan perkara yang cetek lagi mendangkalkan. Namun, erti ‘tabloid’ yang dibayangkan itu tidak mungkin lebih jauh daripada apa yang ingin kami bawa.

Akhbar dan risalah mahasiswa bukanlah suatu perkara yang asing. Fakulti-fakulti di seluruh dunia yang berbangga dengan label “Universiti” itu sering mempunyai akhbar yang diterbitkan oleh Mahasiswa sendiri. Ini padan dengan fungsi mahasiswa dan universiti sebagai penggerak masyarakat dan suara rakyat, terutamanya bagi mereka yang hidup tanpa suara dan muka di ruang awam. Kandungan akhbar itu selalunya dipengaruhi oleh kawalan setempat seperti undang-undang, polisi dan kawalan individu itu sendiri.

Walau begitu, tiada akhbar sebegitu rupa di kampus UiTM ini. Maka sekumpulan Mahasiswa yang sudah bosan dengan kematian akal di kampus telah menyahut cabaran intelek ini dan telah mengeluarkan tabloid ini dengan titik peluh sendiri, tanpa pertolongan mana-mana pihak. Ini merupakan sebuah inisiatif yang dijalankan seratus-peratus oleh Mahasiswa UiTM sendiri dan juga merupakan satu lagi langkah besar ke arah otonomi Mahasiswa.

Dalam edisi pertama tabloid mim ini, seorang penulis yang belum lagi diberi nama menulis bahawa “ada saja pertikaian hak bumiputera” dan mengutuk rasisme dan penindasan di dalam artikel yang sama. Sesetengah pembaca artikel beliau, yang diberi tajuk “Angka 53”, telah berpendapat bahawa akhbar ini perlu mempunyai polisi atau tujuan yang tertentu. Maka kami berbincanglah. Antara sebab tercetusnya pendapat ini adalah kerana pembaca itu, dan saya sendiri, tidak bersetuju dengan tulisan penulis “Angka 53” kerana ayatnya yang berbau fahaman “Ketuanan Melayu” yang cetek.

Seterusnya timbul pula soalan utama perbicangan kami, apakah sebenarnya prinsip dan tujuan tabloid ini? Patutkah tabloid ini berpegang pada prinsip kesaksamaan, equality, anti-rasisme atau yang seangkatan dengannya? Patutkah segala tulisan yang berbau rasis atau tidak mengikut definisi “keadilan” atau “kesaksamaan” yang kita fahami secara individu diharamkan untuk membudayakan prinsip-prinsip ini di kalangan mahasiswa? Atau patutkah akhbar ini berpegang pada prinsip anti-kapitalisme, contohnya, dan mengharamkan segala yang menyokong kapitalisme daripada diterbitkan?

Terlalu banyak soalan yang perlu dijawab tetapi harus diingati bahawa semua orang berbeza pendapatnya, pegangannya, prinsipnya dan juga interpretasi dan fahaman perkataan-perkataan seperti ‘keadilan’, ‘kesaksamaan’ dan ‘rasisme’. Tidak perlu tabloid ini menjadi lagi satu akhbar propaganda yang hanya mengutarakan satu jenis pendapat, ideologi dan fahaman. Cukuplah adanya Utusan Melayu dan Suara Keadilan. Mahasiswa cukup matang untuk membuat keputusan mereka sendiri. Budaya dialektika dan pertembungan idea itu perlu ada untuk mendengar dan memahami isu dari kanta mata insan yang lain supaya kita belajar bukan untuk menerima, bukan untuk menyembah, tetapi untuk menghormati pendapat mereka.

Hatta, hanya satu prinsip yang patut dipegang, kebebasan. Seperti kata Voltaire, “Aku mungkin tidak setuju dengan apa yang kamu katakan, tetapi akan aku pertahankan hak kamu dengan hidup aku sendiri untuk kamu berkata sebegitu.”  Dengan adanya kebebasan, tabloid ini mampu menjadi suatu lagi ejen semak dan imbang terhadap mereka yang berkuasa dan Mahasiswa akan bangkit kembali. Kekangan di antara kita, tidak perlu. Kekangan mereka pula tidak akan berjaya.

Dengarlah sumpah aku wahai Mahasiswa, dakwat kebebasan takkan pernah padam.


ditulis oleh: Haji Lou Reed

Posted in: Haji Lou Reed