Analogi Singa Sarkas

Posted on September 29, 2010

6


Aku rasa isu ini sudah lapuk sebenarnya. Seperti yang kita sedia maklum, kita telah dibiasakan dengan sistem pelajaran yang digunapakai sekarang, tidak kiralah sama ada pada peringkat rendah, menengah, TAK TERKECUALI tertiari. Kita dilatih untuk menghafal buku, dilatih untuk menjawab soalan, dilatih untuk menjadi ‘cemerlang’, yang sekaligus dapat melanjutkan pelajaran pada peringkat yang seterusnya, dan juga sekaligus meningkatkan rating institusi pendidikan yang dihuni itu.

Seperti biasa, orang yang pandai akan diangkat oleh golongan pendidik, dan orang yang pandai dan berbakat dalam lain-lain perkara sudah pasti akan dijulang setinggi-tingginya. Orang yang sederhana akan tetap dipandang sederhana. Manakala orang yang kurang pandai, walaupun hebat dalam perkara-perkara lain, akan di’tindas’ semasa waktu hampir-hampir dengan peperiksaan utama. Inilah realiti. Aku tak dapat nak nafikan.

Sehubungan itu, ramai pelajar berlumba-lumba untuk mencapai kejayaan, dan kebanyakannya disebabkan oleh pujian dan penghargaan. Bukannya kerana eager untuk menuntut ilmu. Bukannya disebabkan rasa ingin tahu terhadap ilmu sekaligus menyebabkan ilmu itu hanya berkeliaran dalam minda sepanjang masa sebelum peperiksaan sahaja dan hilang selepas itu (Tak dinafikan, aku pun dah lupa ilmu sains). Pelajar menganggap bahawa belajar (mengikut silibus) sangat penting, seterusnya mengetepikan perkara-perkara kritikal lain yang sama penting dan kadangkala jauh lebih penting (Tapi, bila bercerita pasal bola sepak, laju).

Aku bangkitkan isu ini bukanlah untuk menafikan keberkesanan sistem exam-oriented yang digunapakai kini. Tapi aku cuma kurang setuju dengan cara pelaksanaan sistem pendidikan di Malaysia ini. Antara analogi yang popular dikaitkan dengan sistem pendidikan ini adalah analogi singa di sarkas. Singa tersebut dilatih dengan cemeti untuk melakukan aksi. Ya, singa itu terlatih. Tak dinafikan. Tapi, singa itu cuma well-trained, bukan well-educated.

Secara personal, aku setuju dengan pelaksanaan sistem peperiksaan kerana dengan kehadiran peperiksaan, pelajar akan lebih bersungguh-sungguh untuk belajar (walaupun tidak ikhlas, tapi sekurang-kurangnya bersungguh-sungguh).

Akan tetapi, cara pelaksanaan sistem itu sendiri perlulah diubah. Perkara pertama dan paling utama adalah aspek penandaan dalam peperiksaan seharusnya perlu dikaji semula. Format penandaan yang aneh dan pelik (Contoh : Disebabkan tidak dibuat dalam bentuk jadual, jawapan dikira salah atau markah ditolak, sedangkan jawapan yang diberikan sudah betul). Selain itu, ke’strict’an penandaan seharusnya tidaklah terlalu ketat dengan hanya berdasarkan jawapan daripada buku teks (setiap perkataan harus sama). Hal ini hanya menyebabkan pelajar menghafal, bukannya memahami. Golongan pendidik juga seharusnya menjalankan tugas mengajar bukannya hanya menumpukan soal peperiksaan dan rating sahaja (ini cuma pendapat. harap maaf kalau terguris hati sesiapa), tetapi mencurahkan ilmu dengan harapan pelajar menerima ilmu tersebut dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Posted in: Jauharjingga