Antara Tuah & Crocs

Posted on September 29, 2010

0


Memang sudah menjadi lumrah dalam masyarakat kita dengan budaya dan tradisi boikot-memboikot ini; setuju? Dalam isu terbaru sekarang, jenama ‘sepatu tak pernah dan tak akan rosak’ pula yang menjadi mangsa. Kononnya jenama tersebut terdapat kalimah Allah di sebalik lambangnya. Sejujurnya, aku musykil dan hairan walaupun ini bukan jenama pertama yang menjadi mangsa boikot. Maka aku pun mengambil sedikit inisiatif untuk mencari sumber-sumber yang dipercayai. Setelah aku Google, baru aku sedar kebanyakan artikel tersebut banyak ditulis oleh orang Muslim-Melayu. Mungkin Muslim di negara kita lebih peka dengan isu seperti ini?

Kemudian ada pula orang di Facebook mula menghebah-hebahkan tentang perkara ini. Aku tertarik untuk ‘bergurau’ dengan penulis tersebut. Ayat yang aku gunakan mirip seperti apa yang aku jumpa di internet :

“Apa kata kita boikot huruf t dekat Hang Tuah, t kan salib. Gunalah Hang Kuah ataupun Hang Luah”

Lalu ‘gurau-senda’ aku dibalas dengan ayat yang bermaksud untuk mengatakan aku berfikiran tidak matang seperti budak-budak. Aku hanya balas dengan senyuman, mungkin dia tidak akan dengar senyuman aku ini.

Memang hairan mengapa rakyat kita, khususnya Muslim sangat gemar dengan aktiviti boikot ini. Tidakkah mereka sedar mereka sepatutnya menggunakan isu ini untuk merancang sesuatu yang lebih positif? Adakah mereka sedar bahawa barangan yang berkualiti memang tidak akan dapat ditumpaskan? Jadi aku cadangkan sepatutnya komuniti kita patut mengambil peluang untuk menewaskan jenama ‘buaya comel’ ini dengan menghasilkan SESUATU YANG LEBIH BAIK DARIPADA YANG SEDIA ADA. Malahan, perlakuan ini lebih baik berbanding dengan menjatuhkan jenama lain sedangkan barangan yang dihasilkan kita masih belum mencapai kualiti optimum.

Kemudian aku bergurau pula dengan seorang lagi rakan penulis dengan berkata :

“Aku bukan nak berlawan atau apa. Cuma aku nak tahu, apa efek kalau betul kasut tu ada kalimah Allah?”

Lalu gurauan aku dibalas dengan kalimah Allahuakbar. Aku hairan; kaget.

Dengan hasil carian di Google, memang tidak dapat dinafikan golongan Muslim-Melayu di negara kita memang memandang serius hal-hal seperti ini

Golongan Muslim-Melayu negara kita sangat suka menjatuhkan golongan lain sedangkan tidak pernah mencuba menaikkan kualiti ataupun mencipta produk yang lebih berkualiti dan kompetitif

Sekiranya mereka rasa bahawa apa yang mereka lakukan ini bertujuan untuk membuktikan keimanan mereka kepada Yang Esa, apa kata jika mereka berfikir bahawa ini petunjuk dari Yang Esa bahawa Muslim perlu mencipta produk yang lebih baik

Daripada mengikis kasut untuk hilangkan logo, lebih baik kita berfikir tentang produk yang lebih bermutu!

Posted in: Kaki Radikal