Berani Berfikir!

Posted on September 29, 2010

0


­­­Kebebasan berfikir itu adalah perkara asas yang wujud dalam setiap individu. Dan lahirnya institusi pendidikan atau lebih mesra dikenali sebagai Universiti dan Kolej Pendidikan adalah pusat bagi anak muda untuk mengejar ilmu dan pusat di mana kebolehan manusia untuk berfikir itu berada di tahap tertinggi. Daya berfikir itu harus dilihat oleh anak muda sebagai satu nikmat Tuhan kepada hambaNya. Keupayaan kita dalam pemerhatian terhadap alam sekeliling dan penggunaan akal yang rasional merupakan kekuatan utama manusia sebagai khalifah di dunia. Maka bila mana kita mula menjadi malas untuk berfikir atau menggunakan akal, kita mula masuk di lingkungan kebodohan atau ignorant.

Oleh sebab itulah artikel ini wujud, iaitu dari kepedulian saya terhadap kemalasan dan sikap ketidakpedulian masyarakat (khususnya anak muda atau youth) kepada isu-isu sosial, ekonomi, politik dan agama yang sudah tidak terkawal lagi! Dari kepedulian inilah siswa mampu melangkah jauh kehadapan, tidak akan lagi dilabel budak mentah, namun mampu untuk bertindak sebagai pengkritik sosial. Sesungguhnya keberanian anak muda untuk berfikir adalah satu perkara penting bagi kemajuan intelektual negara. Maka saya gariskan dua masalah asas dalam isu kebebasan berfikir:

Pertamanya adalah dari aspek individu, iaitu masalah ini dilihat datangnya dari ignorance atau ketidakmatangan manusia itu sendiri. Masyarakat hanya akan maju bila mereka berani berfikir. Seperti cogan kata pergerakan pencerahan, ide filasuf Immanuel Kant iaitu: Sapere Aude! (Berani berfikir untuk diri sendiri), anak muda wajib menyahut cabaran Kant: keberanian setiap individu untuk mengkaji masalah sosial di dalam masyarakat. Masalah perkauman, perpaduan, kebebasan agama, kesamarataan gender malahan isu-isu jenayah yang kian meruncing harus berani diolah anak muda bagi membuahkan solusi yang terbaik. Anak muda bukan lagi golongan masyarakat yang tunduk membuta tuli – tetapi berani berbeda pendapat dan berani membuat kesilapan. Sesunggunhnya berbeda pendapat itu adalah suatu yang baik dalam masyarakat, menunjukkan yang masyakarat itu berfikir!

Keduanya bila mana ada halangan luar atau external factors untuk anak muda bebas menggunakan akal. Kebebasan mutlak dalam berfikir ini sering digeruni oleh masyarakat atas sebab-sebab yang kolot. Antaranya adalah kerana takutnya masyarakat jika seseorang individu itu tersesat oleh ilmu-ilmu yang bertentangan dengan agama dan adat bangsa. Namun apa yang diklasifikasikan sebagai sesat dan bertentangan itu tertakluk pada mereka yang memegang autoriti. Dan sudah pasti mereka mahu menyekat kebebasan mutlak dalam berfikir bagi mengawal bentuk pemikiran masyarakat secara menyeluruh. Pabila autoriti berjaya mengawal pemikiran masyarakat maka mudah bagi mereka menekan masyarakat untuk tunduk dan patuh pada arahan tanpa banyak berfikir. Memetik kata-kata Thomas Paine: “Society in every state is a blessing, but Government, even in its best state, is a necessary evil.” (Masyarakat itu adalah suatu berkat, tetapi Kerajaan (autoriti), bahkan dalam keadaan terbaik sekali pun, adalah suatu kejahatan yang perlu.) Apa yang cuba diterangkan di sini adalah pentingnya masyarakat untuk tidak bergantung kepada autoriti atau golongan pemerintah untuk berfikir secara sendiri, kerana keupayaan berfikir itu adalah nikmat Tuhan terhadap individu dan merupakan kebebasan asas individu yang tidak harus diganggu gugat!

Oleh sebab itulah Ibn Rusyd berpendapat sekiranya ada individu yang membuat kesalahan atau terkeliru dengan ilmu yang dipelajarinya – sama ada lahir dari kekurangan diri yang semulajadi, atau kerana dia dikalahkan sikap malas, atau kerana dia tidak dapat bertemu dengan guru yang dapat mengajarnya – maka ia tidak harus dijadikan alasan untuk menghalang individu lain yang berkemampuan dari mempelajari ilmu berkenaan. Sesungguhnya mereka yang menghalang orang lain dari mengejar ilmu adalah mereka yang tergolong di puncak kebodohan!

Atas kepedulian hina inilah saya berharap anak muda dapat bangun dan berani untuk berfikir, berfikir dan terus berfikir sebebasnya. Bangkitlah dari kemalasan dan ketidakmatangan kita. Ayuh anak muda, bersetuju dan berbahaslah!


ditulis oleh: Peripatetic

Posted in: Peripatetic