Sudut Pidato: Adakah Mahasiswa sudah sedia menerimanya?

Posted on October 12, 2010

3


Sudut Pidato di Universiti-universiti tempatan sebelum ianya diharam kira-kira 4 dekad yang lalu adalah merupakan landasan untuk melahirkan graduan yang akan menjadi aset besar terhadap negara. Sudut yang suatu masa dahulu menjadi platform untuk mahasiswa membawa isu politik, isu ekonomi, isu sosial, isu agama dan isu-isu lain dalam bentuk pidato. Kini, ianya dihidupkan semula selepas Akta Universiti dan Kolej Universiti atau AUKU telah didapati mengongkong mahasiswa dalam menyuarakan idea dan menonjolkan bakat mereka. Namun, sudut ini didapati masih lagi sunyi, masih lagi hambar.

Untuk membandingkan suasana diantara sebelum tahun 1975 (pindaan AUKU) dan zaman sekarang adalah sesuatu yang tidak adil. Kayu ukurnya pula tiada dan zamannya sudah pasti berbeza. Oleh kerana mahasiswa zaman sekarang telah terlalu lama dikongkong oleh AUKU tersebut, maka, mahasiswa perlu mengambil sedikit  masa, boleh jadi masa yang lebih lama, untuk mahasiswa merasai bahawa mereka sebenarnya mempunyai kebebasan dan sedia menerima kebebasan itu. Ramai yang percaya apabila mahasiswa diberi peluang untuk bercakap dan menyuarakan pendapat, ianya akan dapat melahirkan pelajar-pelajar universiti yang lebih matang, lebih bertanggungjawab dan mempunyai tahap keyakinan yang tinggi. Kesediaan pihak kementerian meminda AUKU pada 2009 menjadi petanda bahawa mereka sangat yakin serta menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap mahasiswa negara ini.Namun, adakah mahasiswa sendiri sudah bersedia melaksanakannya?

Sudut Pidato dan politik memang tidak dapat dipisahkan. Namun, dengan menganggap sudut pidato adalah ‘sudut politik’ mungkin ada betulnya, tetapi tidaklah terlalu tepat. Sudut pidato mungkin lebih sesuai difahami sebagai medan pengucapan awam yang mengamalkan kebebasan bersuara, kebebasan memberi pendapat, menerima pendapat dan juga menolak pendapat tersebut. Perbezaan pendapat adalah amat diraikan di sudut pidato, selagi konsep ‘hujah dibalas hujah’ di amalkan. Betapa besar sekali pun pentas yang akan dibina untuk sudut pidato, betapa ramai sekali pun jumlah mahasiswa di Universiti tersebut, jika kebebasan bersuara ini masih asing bagi mereka, apa guna ia dihidupkan kembali? Dengan hanya memandang perkara ini hanya milik sesetengah mahasiswa sahaja seperti ahli kelab pidato atau kelab seumpamanya yang lain.

Kebanyakan mahasiswa beranggapan bahawa isu masyarakat, isu ekonomi dan isu politik bukanlah isu mereka. Isu undang-undang hanya dibincang oleh pelajar jurusan undang-undang. Isu ekonomi hanya dibincang oleh pelajar jurusan berkaitan ekonomi, dan begitulah seterusnya. Jika mahasiswa sedar kemampuan dan kekuatan yang mereka ada, pasti mereka tidak akan melepaskan peluang yang diberi oleh kementerian kepada mereka. Jika dahulu mereka melaungkan agar hak mahasiswa dikembalikan. Dan mereka sebenarnya sedar bahawa sudut pidato adalah salah satu daripadanya. Tetapi, jika sudut ini pun mahasiswa tidak mampu untuk hidupkan dan gunakan sebaiknya. Bagaimana pula jika mahasiswa menerima semua hak yang mereka mahukan?

Ditulis oleh: Dee Moro

Posted in: Dee Moro