Boleh simpan, beb!

Posted on October 17, 2010

4


Aku masih lagi ingat semasa minggu pertama aku di Shah Alam, bagaimana riak wajah salah seorang pentadbir di sini sewaktu menghamburkan kata-kata manis berkaitan dengan program yang ingin dilangsungkan para pelajar.

Kononnya para pelajar diberikan kebebasan untuk melangsungkan aktiviti.
Kononnya para pelajar akan diberikan bantuan dana untuk melangsungkan setiap program.
Kononnya para pelajar tidak perlu risau akan bantuan dari pihak atasan.

Ya, jangkaan anda semua tepat. Konon hanya tinggal konon.

xxx

Beberapa hari yang lepas aku baru sahaja menjalankan suatu program yang mana telah aku jemput seorang penceramah dari luar yang merupakan seorang penulis, penerbit dan pembikin filem independen yang banyak menghasilkan karya-karya yang menarik.

Cuba teka berapa RM yang diberikan oleh pihak atasan ‘yang boleh memberikan dana yang cukup kepada para pelajar’.

RM500?RM200?RM100?

Maaf, hanya RM30.

Aku hairan dan kaget bagaimana reaksi pihak atasan pada program sebegini. Sedangkan program para pelajar lain diberikan dana yang lebih banyak sebaliknya program akademik seperti ini hanya dipandang sebelah mata.

xxx

Dengan dana yang sekecil ini, bagi aku pihak pentadbiran sedang meperlekehkan kebolehan para pelajar menjalankan aktiviti akademik dan mereka juga tidak mengambil kisah kepentingan program ilmiah untuk dilakukan. Aku masih ingat sewaktu di Jasin dahulu bagaimana mudahnya dan disalurkan kepada para pelajar sehinggakan setiap aktiviti tidak pernah berlaku kekurangan bajet dan sebagainya. Harapan aku apabila sampai ke peringkat pascapersekolahan untuk melakukan program yang lebih ‘kebabow!’ berkecai kerana kurang kerjasama pihak pentadbiran.

Seperti yang kita tahu mahasiswa dan ilmu memang tidak boleh dipisahkan. Ilmu di sini tidak terperangkap dalam erti kata buku teks sahaja namun termasuklah ilmu-ilmu di luar kelas yang lain. Sifat dahagakan ilmu ini akan meningkatkan kecelikan mahasiswa pada isu semasa sekali gus mengelakkan mahasiswa tercicir dari arus kematangan ilmu yang amat penting dalam diri para pelajar.

Adakah sifat pasif para mahasiswa sekarang terhadap program ilmiah berpunca dari sifat ambil lengah pihak atasan dalam menyokong perjalanan program tersebut? Ataupun adakah kerana mahasiswa tidak cukup matang untuk menghadam ‘ilmu-ilmu matang’ ini?

Suatu yang pasti, unsur ‘matang’ bukanlah alasan yang akademik kerana kematangan itu hanya mampu dicapai sekiranya seseorang itu pergi menerokanya.

xxx

Program How Amir Writes berlangsung dengan jayanya di Bilik Seminar perpustakaan. Rata-rata yang hadir amat berpuas hati dengan program tersebut. Ada juga yang mahukan program seperti itu dilangsungkan lagi pada masa akan datang.

Jamuan ringan buat hadirin : RM120.
Terima kasih buat pensyarah kumpulan aku yang menanggungya (pada mulanya aku ingin bahagikan sama rata dengan rakan-rakan lain).

Promosi : RM50.
Dibayar oleh rakan-rakan yang telah sudi membantu. Terima kasih!

Penceramah : RM0
Mujur penceramah turut membawa buku-bukunya untuk dijual. Terima kasih kerana bercakap secara percuma!

RM 30. Boleh simpan. Kami boleh buat lebih dari itu!
Ditulis oleh: Kaki Radikal
Posted in: Kaki Radikal