Antara Perhimpunan & Rusuhan

Posted on October 17, 2010

1


Kali ini, aku nak mulakan entri ini dengan definisi berdasarkan Kamus Dewan Bahasa, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Perhimpunan bermaksud perihal berhimpun beramai-ramai utk sesuatu tujuan tertentu.
Rusuhan pula bermaksud kejadian yang mengganggu ketenteraman (kerana perbuatan jenayah spt pencurian dll), tidak aman.
Berdasarkan definisi yang diberikan, aku dapati kedua-dua perkara tersebut sangatlah berbeza. Mungkin rusuhan boleh berlaku disebabkan oleh perhimpunan, tetapi, itu pun bergantung kepada tujuan perhimpunan tersebut.
Namun yang demikian, apa yang berlaku di Malaysia ini adalah hampir semua perhimpunan yang diklasifikasikan sebagai “perhimpunan haram” dilihat sebagai satu rusuhan walaupun tujuan asal perhimpunan tersebut adalah untuk tujuan yang baik. Sebagai contoh, Perhimpunan “Bersih” suatu ketika dahulu. Hanya disebabkan ada beberapa orang ahli politik pihak pembangkang menyertainya, pihak berkuasa tidak meluluskan permohonan permit untuk berhimpun. Atas alasan boleh menimbulkan kekacauan. Sedangkan, tujuan perhimpunan tersebut adalah untuk menyerahkan memorandum kepada Yang DiPertuan Agung agar proses Pilihan Raya di Malaysia dijalankan secara telus dan transparen.
Bagi aku, istilah rusuhan telah disalahguna oleh pelbagai pihak demi menjaga kepentingan masing-masing. Tidak kira sama ada kerajaan mahupun pembangkang. Istilah tersebut digunakan bagi menakut-nakutkan orang ramai. Kononnya sebagai Deterrent.
Atas dasar itu, ramai yang menganggap medium demonstrasi sudah tidak relevan pada masa kini. Mereka menganggap demonstrasi SUDAH PASTI akan menimbulkan rusuhan. Bagi aku, hujah tersebut sangat TIDAK RELEVAN! Semasa menentang Malayan Union suatu ketika dahulu, medium penentangan yang bagaimana digunakan? Berjaya bukan?
Pada pandangan aku, demonstrasi merupakan satu medium yang sangat berkesan bagi mengumpulkan suatu bantahan secara kolektif. Nak harapkan group di Facebook? Jangan harap.
Nota kaki : Tak silap aku, semasa di sekolah menengah dahulu, banyak kali juga aku menyertai perhimpunan (Mungkin juga rusuhan) yang tiada permit polis. Tengah-tengah malam pula tu.
Ditulis oleh: Jauharjingga

 

Posted in: Jauharjingga