Hukum di Universiti kita, yang terbaik adalah statik. (Tribute to Aqil Fithri)

Posted on October 17, 2010

0


Bila Aqil Fitri menulis di dalam artikelnya di Jalan Telawi.com dengan ayat;  “Hukum di universiti kita, “yang terbaik adalah statik”, saya sebenarnya berasa amat tertanya-tanya.

Kenapa begitu pesimis sekali kenyataan beliau tentang universiti kita? Apakah perkara atau keadaan sebenarnya yang menimbulkan permasalahan di universiti kita sehingga begitu sekali kedengarannya? Apabila di sebuah universiti, dimana kebebasan (berfikir) adalah hak asasi, tetapi saranan Aqil pula apa yang terbaik adalah statik, hati saya langsung tidak bergembira!

Saya tidak ingin mengulas apa apa tentang isi kandungan nya, cukup lah sekadar saya mengaitkan satu atau dua perkara yang saya rasa cukup kacau terpaksa dihadapi oleh saya sepanjang menuntut di universiti. Ini adalah pengalaman saya, dan mungkin juga pengalaman anda, kerana kita dibawah satu pendidikan yang sama.

 

Kisah 1

Saya meninggalkan alam pembelajaran di universiti baru sahaja beberapa bulan yang lepas.  Saya percaya pada tiga tahun sebelumnya, sewaktu saat pertama menjejakkan kaki di universiti, saya percaya untuk mempunyai detik detik indah yang membuat saya bangga akan universiti saya. Saya merasa gerun untuk mengatakan ini, bahawasanya satu pun saya tidak memiliki pengalaman yang indah itu.

Tolak ketepi pengalaman dalam persoalan remeh seperti gagal dalam percintaan dalam kisah 1 ini. Ini bukan artikel tentang Cinta Medik atau Dunia Baru seperti di televisyen. Ini kehidupan tulen atau sebenar yang sebenarnya  yang diharapkan atau dapat ditawarkan universiti. Apakah kehidupan sebenar atau kehidupan tulen di universiti itu sebenarnya?  Malangnya, saya pun tidak pasti kerana tidak berpengalaman menikmatinya. Oleh kerana itu lah saya tidak bergembira oleh kerana ketidakpastian saya.

Oleh kerana itu jugalah, apabila direnungkan kembali, kenangan yang membekas di hati saya sepanjang di universiti adalah gagalnya saya memiliki hati wanita yang saya cintai sepenuhnya kerana tidak bergayanya saya berbanding rakan rakan yang lebih cool dan ganteng. Patutlah di TV kita sering dipaparkan dengan isu isu cinta di universiti. Dari filem Cinta Medik sehinggalah ke Dunia Baru. Ini kerana itulah kehidupan kita sebenarnya. Universiti adalah tempat mencari jodoh dan bukan tempat mencanai idea. Rasa terhina?

 

Kisah 2

Kisah ini agak sedih dan memalukan sebenarnya untuk diceritakan. Saya, oleh kerana tidak cukup ganteng berbanding rakan seuniversiti, maka terpaksalah mempopularkan diri dengan idea idea radikal yang boleh diambil pakai yang juga tidak ditawarkan oleh pensyarah-pensyarah di universiti. Saya tidak ingin mengutuk atau bahasa sopannya mempertikaikan kewibawaan pensyarah saya. Ini kerana hakikatnya memanglah universiti kita sudah bukan menjadi tempat utama dalam menghasilkan idea-idea baru. Oleh kerana itu, janganlah mengharap lebih daripada pensyarah kita.

Pensyarah pendek kata, cuma memindahkan semula apa yang ada didalam buku dan sampaikan semula kedalam otak kita. Paulo Freire sudah berikan kita garis panduan, begitu juga dengan Habermas dalam meningkatkan mutu pendidikan. Tapi itu semua tidak berguna agaknya buat universiti kita.

Cukup untuk meleret-leret. Kembali kepada tujuan kisah ini diceritakan. Sebenarnya saya ingin bercerita tentang rakan sebaya saya. Boleh dikatakan kesedaran di universiti tentang hak autonomi universiti semakin berkembang gara-gara kreativiti Fahmi Reza dalam menyampaikan sejarah Student Power! nya. Maka, seiring dengan semangat zaman ini, ada segelintir mahasiswa di universiti saya turut bersama meradikalkan lagi usaha ini untuk mengembalikan hak autonomi universiti. Namun yang saya lihat cuma lelaki-lelaki sahaja yang berminat untuk turut sama sertai penuntutan hak autonomi ini. Cewek-ceweknya tidak ada. Dan lelaki-lelakinya pula, boleh dikatakan semuanya hampir sama seperti saya; tidak berapa laku oleh kerana tidak cukup ganteng dan berduit. Oleh itu, kami mahu menonjolkan diri dengan keradikalan yang agak membabi buta. Ini tiada kaitan dengan falsafah Schopenhaur tentang kehendak manusia yang buta, tetapi ini lebih kerana perasaan KKS nya iaitu kurang kasih sayang dari wanita. Dan sebagai escapism nya, iaitu dengan melibatkan diri bersama aktiviti cool yang ditawarkan oleh abang Fahmi Reza kita.

P/S = Jangan pula rakan seaktivis mengurat awek rakan seaktivis yang lain kerana kurang kasih sayang itu ya!

Oleh kerana itu lah, apabila sudah hadir ke acara Student Power! maka diri sudah menganggap sebagai aktivis pelajar. Apabila sudah membaca sebuah buku wajib, Apa itu Pencerahan; terjemahan dari Pauline Fan maka sudah boleh dianggap cool untuk menggelar diri sebagai aktivis. Saya tidak salahkan 100 peratus tentang hal ini, tapi saya akan menyalahkan juga “aktivis pelajar” (sedikit biarpun tak 100 peratus) yang menulis buku-buku di ruang biodata FB nya dengan sudah membaca buku Apa itu Pencerahan; terjemahan dari Pauline Fan tetapi tidak membaca buku-buku lain.

Saya tidak mahu aktivis pelajar kita hanya mewarisi peninggalan pensyarah pensyarah kita yang tidak membaca. Kita kena melatih diri kita supaya ilmu untuk berkembang. Hanya cara membacalah ilmu kita akan berkembang. Radikal sahaja tidak berguna kerana bila usia tua kelak pasti tubuh kita akan lemah gemalai. Itulah bezanya antara intelektual dan kehendak. Intelektual tiada batasnya, tetapi kehendak suatu hari nanti akan mati juga. Kehendak juga tiada autonomi, radikal bila di usia muda tetapi bila terdesak di waktu dewasa, keradikan kita boleh berubah.

 

Kesimpulannya; Kalau kita tidak mampu merubah universiti kita hari ini, biarlah kita merubahnya di masa hadapan dengan menghasilkan ilmu pengetahuan baru hasil dengan keluasan ilmu kita. Kita tidak ketandusan revolusioner kawan-kawan. Sebaliknya kita ketandusan intelektual. Dan lebih bagus, agar kedua perkara ini dapat diseiringkan.

Penutup

Apabila membaca kali kedua penulisan Aqil Fitri tentang, “hukum di universiti kita, “yang terbaik adalah statik”, jiwa saya tidak memberontak lagi. Memang benar apa yang Aqil Fitri nyatakan. Saya terlupa memfokuskan kepada ayat “dewasa ini”. Kesilapan saya kerana suka membaca laju-laju. Memang benar dewasa ini kita tidak boleh merubah universiti kita. Namun suatu hari nanti pasti boleh. Apabila mahasiswa kita, selaku aktivis-aktivis universiti, komerad-komerad universiti, menjadikan cinta kepada kearifan sebagai landasan dalam kehidupan. Hidup mahasiswa!!

 

 

*Sengaja menulis tajuk buku Apa itu Pencerahan berserta penterjemah sekali kerana kelihatan seperti buku itu amat popular masa kini.

*Artikel Aqil Fithri yang sebenar dapat diakses di laman web Jalantelawi.com. Penulisan yang amat bagus untuk kita teladani.

 

Ditulis oleh: Minalaidinwalfaizin