Bocor (2)

Posted on December 18, 2010

19


1. Seperti yang pernah saya nukilkan sebelum ini, wujudnya unwritten law untuk para calon MPP. Kata mereka kem ini penting untuk para calon MPP. WAJIB! Kalau tak pergi, susahlah nanti. Susahlah??! Mereka seolah-olah berahsia mengenai kem. Calon akan dibawa dan dikumpulkan di suatu tempat. Lokasinya berdekatan  dengan kedai nasi lemak sedap di Shah Alam. Mereka juga mahu calon merahsiakan pemergian mereka untuk sehari semalam. RAHSIA??

2. Di lokasi rahsia itu, semua calon berkumpul. Tiada yang berkecuali. Misi mereka berjaya. Tetapi, kebanyakkan calon MPP rela mereka di situ dan sedari awal lagi sudah melepak. Maklumlah mereka sudah lama berkenalan. Bukankah mereka daripada Pro Aspirasi. Kalau calon Bebas, mesti cacing kepanasan punya. Calon-calon yang berkecuali ini terpaksalah bersuai kenal. Semuanya nampak baik dan selesalah.

3. Apa yang kurang menyenangkan ialah ex-MPP ini dianggap besar dan seakan-akan abang senior di asrama. Pertama-wajib panggil abang. Kedua- memberi arahan ibarat macam askar atau pegawai BTN. Semua arahan mereka wajib diikut. SAH. Inilah kem ala-ala BTN. Ingatkan dekat universiti dah tak payah diarah macam budak kecil lagi. Bakal pemimpin pun kena ditarbiahkan juga.

4. Lebih kurang pukul 8 malam, calon akan dibawa ke suatu tempat. Rahsia lagi. Kononnya tempat yang akan menyedarkan dan menginsafkan orang-orang Melayu. Kata mereka kem ini penting dan perlu dibuat sebelum calon MPP memegang kerajaan mahasiswa kerana mereka tiada kuasa selepas pilihanraya. Hurm, kerajaan?? Tetapi masih tertakluk kepada VC dan HEP. Macam kerajaan boneka saja.

5. Memang sahih. Ini mesti masuk hutan dan ada acara ‘bajet bagus’ akan berlaku. Semua calon tercengang. Paling menyakitkan jiwa ialah ada seorang bro ini yang seolah-olah tentera pencen sibuk memarahi para calon. Ada sahaja yang tak kena. Nak makan pun tak senang. Ada pula dua tiga orang kakak dan abang yang ditugaskan jadi baik dan mesra pelajar. Nampak sangat dirancang. Sesiapa yang pernah pergi BTN masa sekolah mesti tergelak besar. Cara lame. Selepas makan, calon dikumpulkan. Mereka diberi taklimat mengenai tempat rahsia. Pertama, kena tutup mata. Kedua, jangan bising sewaktu perjalanan Ketiga, kena tidur dalam perjalanan. Keempat, bawa kasut dan pakai stoking. Kelima, ikut arahan mereka.

6. Sebelum perjalanan, bro aka tentera pencen ini tak habis-habis nak menakutkan para calon. Ada calon yang senyap sahaja. Tiada yang melawan pun. Takut pun ada. Kira-kira pukul 10 malam, bertolaklah para calon menaiki dua bas ke tempat rahsia tersebut. Perjalanan mengambil masa dua jam dan sampai ke tempat rahsia. Kawasan pantai. Para calon dikehendaki membuat kumpulan. Ramai juga exMPP datang yang menjadi fasilitator. Mood tiba-tiba berubah. Menjadi lebih tertekan dan tegas. Mereka mula menengking. Kawasan berubah menjadi kem askar.

7. Para calon kemudiannya mengambil wudhu dan bersolat di kawasan pantai. Sememangnya cukup strategik tempat pilihan mereka dicampur dengan pendekatan agama. Mulia sungguh mereka ini. Selepas itu, indah khabar daripada rupa. Solat itu tak menggambarkan apa. Mereka masih meneruskan lakonan ditambah dengan ayat-ayat yang tak sedap didengar.

8. Terapi Pertama: Kemudian, para calon dikehendaki mencari barang yang hilang. Kalau tidak jumpa, tak dapat makan. Melanggar hak asasi ni. Kononnya mereka mahu tengok semangat setiakawan dan kerjasama antara MPP. Ada kumpulan yang gagal mendapatkan makanan. Calon dipressure oleh mereka. Kemudian, mereka pressure kumpulan yang tengah makan kononnya mereka ini sanggup makan padahal kawan yang lain tak makan. Apabila ada orang yang cuba membantu, dimarahi pula. Katanya melanggar undang-undang. Keadaan menjadi serba-salah dan kelam kabut. Macam orang bodoh pun ada juga. Akhirnya, mereka boleh makan tetapi akhir sekali. Kumpulan yang menang dapat makan awal tetapi bersyarat. Kena suap rakan sebelah. Inilah terapi baru MPP. Manjakan?

9. Terapi kedua: Permainan wargame. Calon dibahagi dua kumpulan. Kali ini lebih seronok dan main-main tetapi biasalah bro askar pencen masih nak jadi gedebe kat kem ini. Wataknya berkesan tetapi annoying. Over acting. Akhirnya semua kena simbah dengan air.

10. Terapi ketiga: Ada upacara pengebumian mayat. Seorang calon volunteer dipilih untuk setiap dua kumpulan. Mereka memberi masa 15 minit untuk memandikan,mengkafankan dan menyembahyangkan sebelum dikebumikan. Namun, calon gagal menyiapkan dan mereka mulalah mengamuk. Mereka mengugut untuk mencampakkan calon volunteer itu ke dalam laut. Mereka dengan lagak lakonannya mengangkat calon terbabit dan mengacah untuk buang ke laut. Paling tak tahan, kebanyakkan calon mulalah merayu-rayu untuk tidak membuang rakan mereka ke dalam laut. Mereka apalagi semakin galaklah menunjukkan aksi ganas dan memaki hamun. Kadang-kadang kelakar juga tengok calon-calon ini.

11. Terapi keempat: Selepas itu, mereka kapankan calon tersebut dan mengugut menanam calon tersebut betul. “Biarkan dia mati. Korang memang suka dia mati kan!!” Calon terbabit dibawa masuk ke liang lahad yang sudah sedia digali. Kemudian dikambus. Paling mengejutkan, seorang calon ini terus meroyan tak tentu arah dan menolak-nolak bro-bro fasilitator ini dan cuba menyelamatkan calon tersebut. Meraung-raung jugalah mereka ini. Pelik sungguh terapi minda MPP ini ya. Padanlah mereka jadi begini. Ada yang menenangkan si calon yang meroyan ini. Calon berkecuali berasa amat pelik.

12. Terapi kelima: Kira-kira dalam pukul 3 pagi, semua calon berkumpul memanjang satu barisan. Mereka mengarahkan calon memandang bintang,berguling di tanah, mencium tanah. Mereka mengatakan UiTM adalah tempat yang perlu kita jaga dan sayang. Itu hak bangsa Melayu. Ingat di mana kita berada dulu, sekarang kita sudah menggapai bintang. Itulah antara ayat-ayat BTN aka klise untuk membangkitkan semangat Melayu di kalangan calon. Penuh emosi dan bersemangat. Kemudian, calon dikehendaki mengambil pasir dan melumurkan ke muka. Kononnya untuk kita sedar diri yang Malaysia adalah tanah air kita.

13. Terapi keenam: Terapi inilah yang paling mengjengkelkan dan menggelikan. Sesiapa yang buat memang kena mandi atau facial badan selama sebulan. Semua calon dkehendaki masuk ke dalam lumpur pantai selepas air surut. Masuk sedikit demi sedikit.

Sememangnya susahlah dan kebanyakkan calon terjatuh ke dalam lumut. Ia melekat. Perlahan-lahan semua calon sudah berada di tengah laut. Jauh jugalah daripada kawasan pantai.

14. Kemudian, calon dipaksa melumurkan lumpur di seluruh muka sambil mendengar kata-kata semangat, “ Kalau sayang UiTM, lumurkan lumpur lagi dekat muka. Ingat lumpur inilah asal kita” Anda semua kena mempertahankan UiTM walau macamana pun. Itu hak Melayu. Jangan tak bersyukur dengan kerajaan. Jangan menentang UiTM. Bekerja dengan UiTM”. Itulah antara bait-bait semangat yang ditiupkan kepada calon. Semoga calon terus ikut sahaja segala perintah UiTM.

15. Selepas lebih kurang 5 pagi, selesai upacara keramat itu dan semuanya bersiap untuk membersihkan diri dan bersolat Subuh. Kuantiti air terhad dan sukar untuk membersihkan diri. Lumpur memang sukar mahu dibuang. Dalam pukul 7 lebih selepas makan, bas pun tiba. Sebelum pulang, mereka meminta calon MPP bekerja bersungguh untuk UiTM. Bawa aspirasi UiTM. Tolong rakan-rakan calon dan jangan sesekali menentang UiTM. Terapkan semangat bangsa Melayu yang kuat. Upacara ini direstui oleh pihak universiti dan mahukan semuanya rahsia. Inilah yang membezakan UiTM dengan universiti lain.

16. Kebanyakkan ex MPP inilah digelar Nadi Penggerak yang memantau keadaan pilihanraya kampus. Bagi calon berkecuali, memang tak kenal mereka ini. Calon lain memang kenal mereka. Mereka jugalah nanti yang menilai siapa yg bakal menjadi YDP. Semua ideologi dan manifesto akan dipantau. Jika ada yang lain, pasti mereka bertanya dan cuba menerapkan ideologi mereka. Sebab itulah, mereka pernah menyebut sistem parti di UiTM akan memecahkan Melayu dan hanya cara begini dapat mengekalkan perpaduan. Bagi mereka, menentang dan mengkritik dengan saluran yang betul dan jangan melawan.

17. Selepas itu calon tiba di Shah Alam dan pulang meneruskan kempen pilihanraya. Satu malam tak tidur dan terpaksa ditarbiahkan. Sekarang barulah kita nampak mengapa calon MPP semuanya Pro Aspirasi dan Pro Aspirasi menang besar di kampus UiTM. Kesimpulannya tidak salah ada calon aspirasi tetapi bukankah lebih baik ada yang mengkritik? Kalau semua jadi yes man, maka tiada perubahan dan percambahan idea.

18. Begitulah kisah benar mengenai kem rahsia ini dan sistem pilihanraya yang menjadi unwritten law di UiTM. Artikel ini bukanlah sehebat Wikileaks untuk menceritakan perkara yang besar dan hebat. Ia hanya artikel yang perlu dibaca dan dinilai sendiri oleh mahasiswa.

Persoalan di benak saya, mengapa perlu dilakukan kem sebegini rupa? Mengapa perlu menubuhkan Nadi Penggerak menemubual calon berkecuali? Mengapa perlu dirahsiakan kem ini? Mengapa perlu melakukan upacara keramat ini kepada calon sahaja?

Semuanya menjadi tanda tanya. Anda yang berhak menilainya.

ditulis oleh: Si Kancil

Posted in: Si Kancil