Agama & Kemajuan

Posted on December 18, 2010

2


Selepas dikejutkan dengan pengumuman Mega Tower yang akan dibina oleh Permodalan Nasional Berhad dalam Bajet 2011, rakyat Malaysia dikejutkan dengan satu lagi visi pemerintah yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hub hiburan. Di kotak mindaku, hanya tertumpu mengenai cadangan menbina Disneyland, atau Taman Tema terbesar. Namun, sangkaanku meleset tatkala membaca Malaysian Insider. Hub hiburan yang dimaksudkan adalah menjadikan Malaysia sebuah hub kelab malam. Malam di Malaysia akan diterangi dengan nyalaan lampu neon dan dibanjiri dengan ahli–ahli korporat malam. Begitulah cadangan yang dikeluarkan oleh ETP dalam perencanaan bidang pelancongan.

 

ETP merupakan pelan cadangan yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi negara untuk memacu daya saing negara. Namun, apa yang dikesali dalam aspek pelancongan. Ketuanya Datuk Idris Jala, telah mencadangkan pembinaan 10 kelab malam esklusif di sekitar Kuala Lumpur dan beberapa negeri terpilih. Kelab-kelab malam ini akan dilengkapi dengan sistem bunyi terbaik dan pembiayaan sepenuhnya oleh pihak swasta. Selain itu, acara-acara hiburan terbesar akan dibawa masuk ke Malaysia dengan mudah. Malam di Kuala Lumpur tidak akan sunyi dan hal ini kononnya menarik pelancong asing ke dalam negara.

 

Komen paling mudah untuk cadangan ini ialah mengapa Malaysia mahu terikut –ikut dengan kerenah hedonisme yang sememangnya bertentangan dengan norma masyarakat Malaysia? Adakah Malaysia mahu dijadikan hub hiburan yang akhirnya mahu mengalahkan Hollywood, Britain? Dan, sejauh mana kehebatan hiburan Malaysia sehingga mahu menyaingi negara luar? Inilah soalan-soalan yang menerpa di benak pemikiran saya tatkala mendengar cadangan ini.

 

Akibatnya, ramailah ahli NGO antaranya Persatuan Pengguna Islam Malaysia bangkit menentang cadangan ini. Ruang ini digunakan oleh PAS untuk mengecam tindakan tidak bermoral ini. Ulama-ulama mula bersuara menentang antaranya Dr Asri, bekas Mufti Perlis dan Datuk Harussani Zakaria, Mufti Perak. Menurut Datuk Harussani, sekiranya cadangan ini diteruskan maka hasil kerajaan akan dikira haram dan rakyat tidak boleh menggunakan hasil dari sumber yang haram.

 

Namun, sayangnya penentangan hanya rancak di media alternatif dan bukan di media perdana. Media perdana langsung tidak menunjukkan sebarang berita mengenai hal ini dan isu ini tenggelam dek kempen pilihan raya Galas dan Batu Sapi. Lihatlah, permainan media yang bijak menyorok berita-berita tertentu untuk mengangkat agenda sesetengah parti politik.

 

Ada beberapa kemusykilan yang timbul rentetan cadangan hub hiburan ini. Pertama, ke mana pergi ulama-ulama dalam kerajaan sehingga Idris Jala tergamak mencadangkan cadangan sebegitu rupa. Datuk Seri Jamil Khir hanya mampu tersenyum dan berkata itu hanya peringkat cadangan dan seolah-olah menggangap perkara itu sekadar mainan.

 

Kedua, mengenai media. Mengapa tiada liputan mengenai isu ini di suratkhabar arus perdana mahupun siaran berita di televisyen seolah-olah tiada apa yang berlaku? Hal ini menggambarkan ketidaktelusan media menyampaikan berita kepada rakyat. Rakyat ada hak untuk mengetahui berita apatah lagi hub hiburan ini akan melibatkan seluruh masyarakata Malaysia. Hak ini yang saya lihat Malaysia gagal berikan kepada rakyat akibat media yang tidak bebas.

 

Ketiga, dari aspek moraliti, keuntungan dan prinsip. Kecelaruan Malaysia semakin menjadi-jadi. Malaysia diiktiraf sebagai negara Islam moden. Namun. pendefinisian moden inilah yang akhirnya memerangkap Malaysia ke arah kecelaruan polisi dan dasar. Kemodenan bagaimana yang mahu Malaysia ikut? Moden dari aspek Barat ataupun moden dalam nilai-nilai Islam. Kemodenan Malaysia hari ini dilihat lebih menjurus ke arah kebaratan. Sistem pemerintahan separa sekular, sistem demokrasi, sistem perbankan konvensional dan pasaran bebas menggambarkan Malaysia menyerap nilai-nilai ini.

 

Walau bagaimanapun, sampai suatu tahap Malaysia perlu mengekalkan prinsip tertentu untuk menjalankan dasar dan polisinya. Malaysia tidak boleh kaut semua sahaja dalam 1 Malaysia. 1 Malaysia tidak boleh menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Malaysia tidak boleh mengangkat prinsip Machiavelli untuk mengejar status negara maju dan demi keuntungan ekonomi.

 

Akhinya, kita perlu menilai kembali mengenai cadangan hub hiburan ini. Adakah ia benar-benar menguntungkan negara? Adakah keuntungan dinilai dari aspek material sahaja tanpa melihat keuntungan modal insan? Tidak semua perkara diukur melalui wang ringgit sebaliknya jati diri, modal insan, akhlak dan kesungguhan adalah perkara yang subjektif untuk dinilai. Justeru, isu moral perlu diangkat terutama dalam polisi negara supaya kita mengekalkan identiti dan jati diri kita.

 

ditulis oleh: Si Kancil

Posted in: Si Kancil