Angka 1

Posted on January 10, 2011

1


Kita sering berlagak dengan angka 1.

“Aku dapat nombor 1 dalam kelas.”
“Ranking SPM sekolah aku nombor 1 di Malaysia.”
“Kita merupakan Negara Asia Tenggara Pertama yang menganjurkan Sukan Formula 1.”
“Universiti aku terbaik di Malaysia.”

Banyak lagi.

Tetapi, adakah minda kita nombor 1? Aku tujukan kepada “kita”. Kita =
Remaja = Pelajar = Mahasiswa. Termasuk diri aku sendiri.

Tidak guna kita membandingkan Malaysia dengan negara yang
terkebelakang. Memang kita jauh lebih baik. Akan tetapi, dengan
kelebihan yang kita ada berbanding dengan negara tersebut, mampukah
kita bersaing dengan negara dunia pertama yang lain? Atas dasar itu,
aku cuba untuk mengetengahkan perbandingan dengan negara yang maju,
bukannya negara mundur.

Begitu juga dengan universiti kita. Dengan sistem pendidikan kita.
Memang, aku tak nafikan bahawa sistem pendidikan kita lebih baik
berbanding dengan negara dunia ketiga yang lain. Akan tetapi, sampai
bila kita nak menjadikan negara dunia ketiga sebagai penanda aras
kejayaan negara kita? Sampai bila? 2020? Setelah Malaysia diiktiraf
sebagai negara dunia pertama? Sudah pasti tidak.

Autonomi universiti bukanlah suatu yang mudah. Juga, autonomi
universiti bukanlah suatu yang mustahil. Menurut Kamus Dewan Bahasa
dan Pustaka, autonomi didefinisikan sebagai pemerintahan (pentadbiran,
pengurusan) sendiri, hak mengurus pemerintahan (pentadbiran dsb)
sendiri (tanpa penguasaan atau pengendalian oleh pihak lain).

Di Malaysia, terutamanya universiti awam, autonomi universiti tidak
dicapai. Universiti dikawal. Pelajar dikawal pemikirannya, pelajar
dikawal pertuturannya, pelajar dikawal pelajarannya. pelajar dikawal
pergerakannya. Apa yang boleh, hanyalah belajar, mengiyakan kata
pensyarah, menghafal, mendapat keputusan yang cemerlang dalam
pelajaran. Tiada kebebasan untuk berilmu (menuntut ilmu). Ilmu di
universiti lebih kepada ilmu acuan pihak-pihak tertentu. Bukannya ilmu
yang mutlak. Universiti menjadi sebuah medium doktrinasi pihak
tertentu. Sebab apa jadi begini? Kerana tiadanya autonomi universiti.
Lebih mendukacitakan, universiti juga telah dijadikan sebagai sebuah
institusi untuk berfoya-foya dan bersuka-ria sebagaimana yang telah
diperlihatkan dalam drama-drama televisyen. Universiti bukanlah lagi
sebuah institusi yang memberikan kebebasan untuk mencapai tahap ilmu,
tetapi menjadi sebuah institusi kebebasan perkara lain. Lihat sahaja
apabila kebanyakan program-program ilmiah yang cuba dijalankan
kadang-kala disekat, sudut pidato yang tujuannya untuk menajamkan
minda pelajar disekat, dilengahkan, suara pelajar di kelas akan
dicopkan sebagai salah kerana dikatakan pelajar tersebut masih mentah
dan tidak berilmu, akan tetapi, program-program hiburan banyak
dijalankan. Juga menjadi masalah apabila sesebuah pihak menjalankan
sesuatu majlis, semasa post-mortem, perkara utama yang diutarakan
adalah “adakah tetamu vip diberikan layanan yang secukupnya”. Bukannya
isi majlis yang diutamakan! Adakah ini merupakan salah satu kriteria
untuk menjadi sebuah institusi pendidikan yang terulung? Ini adalah
sesi ‘mengipas’!

Kemudian, pihak berwajib mulalah menunjukkan rasa-rasa bimbang di
dada-dada akhbar apabila kedudukan Universiti-universiti tempatan
jatuh dalam ranking universiti dunia. Puncanya apa? Fikirkan.

Apabila mahasiswa cuba untuk mengembalikan ketajaman minda, mereka
disekat. Disekat melalui pelbagai cara. Sehingga mereka dicaci murka
oleh rakan-rakan, ditindas, di’gam’kan mulutnya. Dikatakan bahawa
mereka ini pencetus masalah, perosak perpaduan, tidak berilmu, dan
sebagainya.

Ayat biasa yang aku sering dengar dari pelbagai pihak adalah :

“Pelajar universiti ni duduk diam-diam belajar sudah. Belum ada ijazah
dah bising. Ilmu pun belum ada dah melalak.”

Hal ini menjadi masalah apabila kepandaian seseorang diukur melalui
sehelai sijil. (Aku tak nak ulas panjang soal ini.)

Suara mahasiswa diremehkan. Suara mahasiswa direndahkan. Suara
mahasiswa diinjak.

Macam ini kita nak universiti tempatan bersaing dengan
universiti-universiti ternama dunia yang lain? Untuk menjadi
Universiti nombor 1 di dunia? Dengan sistem bayangan sebegini?

Adakah kita hanya perlu diam? Menjadi seorang ignorant?

Aku cabar semua untuk ke Perhimpunan Mahasiswa Negara pada 11.1.11 ini
untuk mendengar suara mahasiswa berkenaan dengan dunia kemahasiswaan.

Jumpa kalian pada 11.1.11 ini.

 

 

ditulis oleh: Jauharjingga

Posted in: Jauharjingga