PMN 2011 : Titik Mula

Posted on January 12, 2011

2


Perhimpunan Mahasiswa Negara. Mungkin tidak akan tersenarai dalam lipatan sejarah mainstream tapi bagi mahasiswa, inilah titik mula. Langkah pertama. Yakin dan pasti, mungkin ada antara anda berada di sana dan yang lain, masih tersipu malu di kampus. Mana tidaknya, merata corok mata-mata memerhati kita semua. Semuanya atas alasan, kita perlu belajar dan hanya perlu angguk dan cakap “ya kami setuju!”

PMN 2011

Itu bukan budaya kami, yang hadir ke Perhimpunan Mahasiswa Negara. Dan yang lain, para mahasiswa.

Mahasiswa seharusnya diberikan peluang untuk membuat keputusan yakni yang berkaitan dengan perihal mahasiswa. Ya, kami mahukan kuasa, kami mahu tentukan sendiri. Biar kami corakkan sendiri. Hanya jauhari yang mengenal manikam. Hanya mahasiswa yang memahami isu mahasiswa.

Suatu perkara yang menarik perhatian aku pada perhimpunan selain daripada penyatuan para pelajar dari seluruh Negara ialah penolakan usul wakil mahasiswa di Parlimen. Bagi aku ini merupakan suatu pencapaian yang besar. Satu perkataan; matang. Mahasiswa tidak mengambil mudah setiap isu dan sentiasa bersedia untuk mengkaji dan menyelidik sesuatu perkara dalam mengambi keputusan. Walaupun jelas usul ini menyebelahi mahasiswa namun mahasiswa tidak cepat melatah sebaliknya berhujah dengan idea-idea yang bernas.

Siapa kata mahasiswa tidak matang? Siapa yang kata mahasiswa cuma perlu melekat di meja dan belajar? Dusta. Tipu. Kami lebih bagus daripada itu. Kami bersedia untuk lebih daripada itu.

Ya, kita semua mahukan kesatuan mahasiswa. Menuju perpaduan dan seterusnya membangkitkan semangat kemahasiswaan. Tapi, ke manakah kita selepas itu? Apa yang patut kita buat sekarang? Selain PMN 2011? Ke manakah kawan kita yang lain? Adakah mereka bersama kita? Ataupun kita mahukan kesatuan siswa itu cuma satu mimpi indah?

Tepuk dada tanya selera.

Mari kita mulakan dari sekarang. Jadikan PMN 2011 satu titik mula. Jadikan ini langkah pertama.

Kita akan kembali menggegar.

Posted in: Kaki Radikal