Aku & Kita adalah Satu

Posted on January 13, 2011

2


Aku percaya dengan sejarah negara. Aku telah diajar untuk bersetuju yang bangsa Melayu adalah penghuni asal di bumi bertuah ini. Aku telah diberitahu yang British juga mengekalkan kuasa Sultan dan hak melayu walaupun dijajah. Aku juga diceritakan yang bangsa Cina dan India datang ke Malaysia sebagai imigran melalui sistem Kangcu dan Kangani.

 

Aku telah diajar dalam buku teks sejarah yang Melayu bangkit menentang selepas Malayan Union. Mereka bersatu untuk menolak Union dan mahu Persekutuan ditubuhkan. Aku juga yakin kerana merdeka, Melayu harus bersatu dengan Cina dan India. Itulah syarat yang perlu dipenuhi. Akhirnya, kita berjaya sehingga ke hari ini.

 

Tetapi, sebenarnya asas kita masih celaru. Asas perpaduan masih dipertikaikan. Kita tidak seperti Indonesia atau Thailand. Mereka menolak kerakyatan yang masih mengekalkan identiti kaum. Di Indonesia, warganegara digelar Indonesia walau apa pun kaum mereka terdahulu. Budaya bangsa lain diasimilasikan menjadi satu.

 

Kita bukan begitu. Kita bersatu tetapi kita berbeza. Kita masih kekal dengan identiti kaum. Kita seperti rojak yang bercampur pelbagai perisa. Sedap. Tetapi kalau tersilap campuran.Bahaya. Kurang enak jadinya.

 

Kita harus ada pegangan. Asas yang perlu dipersetujui semua orang. Perlembagaan dan kontrak sosial. Aku setuju bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Aku setuju bahasa Melayu harus digunakan dalam urusan harian negara. Aku setuju yang agama Islam menjadi teras setiap polisi. Aku juga setuju Sultan diangkat menjadi simbol negara. Semuanya harus dipersetujui yang dipegang menjadi asas.

 

Namun, dek kerana politik, soal asas kenegaraan dipertikaikan. Isu perkauman dimainkan seolah-olah orang Cina masih di Tanah Besar China dan orang India masih di negara India. Bahasa Melayu tidak diangkat sewajarnya. Agama Islam tidak diperhalusi sejujurnya. Kontrak sosial juga tidak dipegang dengan baik oleh masyarakat.

 

Aku kecewa kerana kita masih mementingkan bangsa daripada negara. Gagasan 1 Malaysia juga dianggap gimik politik dan disekat. 1 Malaysia sebenarnya mahu rakyat kembali kepada asas negara. Menolak idea radikal perkauman dan menghormati perbezaan. Rakyat bukan Melayu harus bersama menerima asas ini dan ia harus disokong oleh parti politik pembangkang.

 

Aku kecewa kerana parti pembangkang menolak asas negara yang telah termaktub lebih 53 tahun. Jangan kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar. Pihak pemerintah juga perlu menilai polisi yang lebih adil dan berani untuk menyatukan bangsa Malaysia. Jangan sekadar menanam tebu dipinggir bibir.

 

Kita dapat melihat realiti bagaiman ramai rakyat bukan Melayu yang kurang fasih berbahasa Melayu, termasuk menteri kabinet. Paling tidak logik, pekerja kedai mamak lebih fasih berbahasa Melayu berbanding rakyat sendiri. Aku kerapkali sedih melihat event di mana bukan Melayu lebih banyak mahu berbahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.

 

Papan tanda juga mahu diubah menjadi bahasa Cina kononnya ramai pelancong Cina datang ke Malaysia. Alangkah bodohnya idea ini. Kenapa kita tidak jadi seperti Thailand. Signboardnya masih kekal dalam bahasa Thai.

 

Jangan pernah dilupakan, sekolah vernakular ditubuhkan sehingga sekolah wawasan ditolak. Alangkah sedihnya apabila ramai NGO bangkit menentang sekolah wawasan dan penyatuan kaum dalam sistem pendidikan. Kenapa kita tidak boleh mengadakan national school seperti Singapura? Mengapa harus kita simpan sekolah vernakular? Untuk apa? Dan untuk siapa?

 

Tidak cukup di sekolah rendah, di sekolah menengah juga ada sekolah berasrama yang mengutamakan bangsa Melayu lantas kurangnya pergaulan pelajar Melayu dengan bangsa lain. Tidak cukup di sekolah menengah, di peringat universiti, ada juga universiti yang hanya boleh dimasuki oleh orang Melayu sahaja. Bukankah hal ini akan merenggangkan perpaduan masyarakat?

 

Akhir sekali, aku berpesan supaya kita kembali kepasa asas negara. Kita harus bersifat nasionalis. Kita tolak idea radikal politik perkauman. Kita harus ikat asas kenegaraan. Ayuh bangsaku, mari bersatu dan bersetuju untuk menyatukan polisi pendidikan. Sekiranya kita ingkar pada seruan ini, bangsa Malaysia hanya tinggal angan-angan yang bakal merubah menjadi tragedi ngeri.

 

 

ditulis oleh: Si Kancil

Posted in: Si Kancil