Diari: 11 Jan 2011

Posted on January 14, 2011

3


Kali ini aku menulis dengan penuh bangga. Mahasiswa sudah tidak lagi menjadi anak kecil yang masih berhingus tebal. Aku kira hari ini, mahasiswa lebih matang daripada orang-orang tua yang sudah beruban atas bawah. Aku bukan sekadar beromong kosong, Buktinya, Perhimpunan Mahasiswa Negara telah mengembalikan demokrasi kepada mahasiswa. Bilang saja, cakap saja. Usah gentar. Itulah yang aku rasa tatkala menjejak kaki ke PMN 2011.

 

Seolah-olah mahasiswa menjadi YB yang datang atas kapasiti individu. Tidak perlu duit untuk bercakap, sekadar ada student id. Anda ada hak untuk menyuarakan pendapat. Sekian kali, mahasiswa menunggu ruang demokrasi sebegini. Ternyata PMN memahat batu asas kepada perjuangan yang lebih besar.

 

PMN mengembalikan hak bersuara yang telah lama berkubur di universiti. Di sini, pelbagai lapisan mahasiswa sama ada universiti awam dan swasta berkongsi ruang yang sama untuk menyuarakan pendapat. Rata-rata mereka menghadapi masalah dengan pentadbiran, MPP dan HEP. Di kalangan siswa universiti awam terutama UiTM, mereka menbangkitkan masalah MPP yang seolah-olah menjadi perwakilan pegawai. Mereka menjadi lembu yang dicucuk hidung. Mereka juga membangkitkan masalah aktiviti pelajar yang dibatalkan kerana tak cukup wang atau ia melibatkan pengaruh politik. Mereka juga membincangkan mengenai keterikatan politik sehingga mahasiswa tidak dapat menyuarakan pendapat dan wujudnya pengaruh politik di universiti yang didoktrin kepada pelajar.

 

Di kalangan mahasiswa universiti swasta, mereka membangkitkan isu mengenai yuran yang terlalu mahal sehingga memberi kesan kepada  kenaikan pinjaman PTPTN. Hal ini memberi kesan kepada kadar pinjaman yang perlu dilunaskan oleh mahasiswa apabila sudah bekerja. Selain itu, mahasiswa swasta kurang kesedaran terhadap isu semasa dan kebanyakan program bersifat hedonisme. Penguasaan bahasa Melayu yang lemah di kalangan mahasiswa bukan Melayu juga disuarakan.

 

Itulah sebahagian luahan hati pelajar terhadap sistem pentadbiran universiti. Segala komen dan kritikan dibahagikan mengikut beberapa isu Antaranya, kebajikan mahasiswa, kualiti pengajian, polisi dan dasar universiti dan isu mengenai sikap mahasiswa. Setelah perbincangan di Popular Assembly, mahasiswa diajak berbincang dengan terperinci terhadap isu-isu yang dibangkitkan dalam workshop. Perbincangan terperinci sangatlah penting agar isu dapat dibuktikan dengan fakta dan relevan untuk dibawa ke Parlimen Mahasiswa.

 

Dalam Parlimen Mahasiswa, Mahasiswa mempunyai kuasa untuk mengundi sama ada menyokong, tidak menyokong atau menyokong dengan syarat. Kuasa terletak kepada mahasiswa untuk menentukan sesuatu usul diterima atau tidak. Usul akan diperdebatkan oleh mahasiswa sebelum diundi. Usul akan diterima sekiranya mendapat majoriti 2/3 undi daripada mahasiswa yang hadir.

 

Pendekatan inilah yang menarik kerana mahasiswa diajak duduk semeja berbincang, serta bersepakat sebelum mengeluarkan sebarang resolusi. Pengamalan sistem demokratik ini penting supaya setiap keputusan diterima oleh majoriti dengan kefahaman yang jelas.

 

Dalam PMN 2011, tiga resolusi diterima yakni pembinaan koperasi mahasiswa untuk membantu para pelajar, perbincangan mengenai hala tuju student unity di Malaysia dan PMN akan diadakan pada hujung minggu. Ketiga-tiga resolusi ini dipersetujui melalui undian majoriti. Usul yang ditolak ialah cadangan menghantar perwakilan mahasiswa di Dewan Negara. Walaupun usul ini agak baik, namun, mahasiswa masih belum bersedia untuk menghantar wakil kerana penyatuan mahasiswa masih belum di tahap yang memuaskan.

 

Begitulah serba ringkas aktiviti PMN kali pertama diadakan dalam sejarah kebangkitan mahasiswa. Sayangnya, PMN telah diharamkan oleh sesetengah universiti dan menghantar wakil untuk mengintip. PMN dilihat sebagai satu bentuk ancaman kepada universiti. Sebenarnya, pihak universiti harus meniru cara PMN untuk meningkat kematangan mahasiswa dalam menyuarakan pendapat. Sehingga ke hari ini, tiada penjelasan yang dibuat oleh universiti untuk mengharamkan PMN.

 

Adakah kerana ia melibatkan parti politik? Adakah kerana ia bukan pertubuhan berdaftar? Adakah kerana ia mengumpulkan mahasiswa daripada universiti tersebut?

 

Apapun alasannya, PMN adalah private event yang hanya menjemput mahasiswa tanpa sebarang paksaan. Tiada keterlibatan ahli politik. Hanya mahasiswa untuk mahasiswa. Sekian. Semoga bertemu dalam PMN kali ke-2.

 

 

ditulis oleh: Si Kancil

 

Posted in: Si Kancil