Kosmos

Posted on January 23, 2011

0


Sovinisme (chauvinism) adalah ibarat barah dalam konteks masyarakat Malaysia dewasa ini. Idea bahawa ras, etnik, atau negara seseorang itu lebih superior dari yang mereka yang lainnya – telah merebak luas, tanpa mengenal usia. Di sekolah-sekolah, gambaran keunggulan bangsa Melayu dalam perjuangan menuju kemerdekaan diangkat sehingga memandang enteng pengorbanan bangsa lain.

 

Generalisasi karakter mengikut bangsa – Melayu dengan malasnya, Cina dengan helahnya, India dengan gangsterisme, adalah seburuk-buruk cara untuk ibu bapa membentuk mentaliti anak-anak kecil yang naïf.

 

Arakian, melahirkan rasa egois yang berlebihan dalam diri anak-anak, seterusnya memperhina bangsa lain. Yang dikhuatiri adalah, kenaifan anak-anak kecil seperti diarahkan atau barangkali terarah ke kancah ethnocentrism yang melampau. William G. Sumner; profesor di Yale menegaskan bagaimana ethnocentrism yang obsesif boleh mewujudkan sikap keangkuhan dan stigma terhadap bangsa lain – terus melahirkan suasana tegang dalam masyarakat.

 

Sovinisme kebangsaan, atau nasionalisme pula jika tidak dikawal dengan kewarasan akal yang rasional, akan tertuju kepada rasa meluat pada negara lain – seperti yang berlaku di antara Malaysia dan Indonesia kebelakangan ini. Keduanya obses dengan semangat nasionalisme jumud dalam perebutan budaya dan jatidiri, sehingga lupa akan makna pertembungan budaya itu sendiri. Hasilnya, tertanam sikap benci di dalam diri yang ditakuti akan berakhir dengan permusuhan yang kekal.

 

Anehnya, semangat kosmopolitanisme jarang sekali diangkat oleh massa, baik orang tua atau pun anak muda dalam melahirkan masyarakat madani. Sikap jumud yang tua dan ketidakpedulian yang muda – menyedihkan, juga barangkali menakutkan. Apakah rakyat Malaysia mampu untuk melakukan reformasi terhadap pemikiran sosial masyarakat, baik dalam konteks bangsa, agama, juga negara.

 

Desiderius Erasmus, filasuf humanisme dari Rotterdam, yang juga seorang Paderi Katolik berpendapat bahawa manusia secara fitrah, memerlukan kehidupan bersosial – maka beliau mengajak kepada toleransi bangsa dan agama – serta menganggap umat manusia di seluruh dunia sebagai teman senegara (compatriots).

 

Propaganda seperti ketuanan bangsa, dan slogan ganyang itu, anti ini – hanya akan berakhir dengan rasa kebencian. Di waktu dunia ketandusan makna cinta, ada baiknya jika kita wujudkan rasa hormat yang murni dalam penerimaan pluraliti atau kejamakan dalam kehidupan.

 

Memetik kata-kata Immanuel Kant dalam esei beliau – Perpetual Peace (1795) “hak samarata antara seluruh masyarakat dunia ke atas kehidupan di bumi ini, akan membawa manusia ke arah gagasan kosmopolitanisme yang unggul – seterusnya mewujudkan kedamaian yang abadi.

 

Demi Tuhan, sesungguhnya aku tidak lain hanya lah warga kosmopolitês.

 

 

ditulis oleh: Peripatetic

Posted in: Peripatetic