Peringatan Buat Calon PRK

Posted on February 15, 2011

2


Setiap pilihanraya akan ada skuad pemantau untuk menguruskan perjalanan pilihanraya. Skuad ini mempunyai kuasa seperti Suruhanjaya Pilihanraya(SPR). Mereka inilah yang tidak tidur malam membantu supaya perjalanan piliharaya aman dan tiada kekecohan. Mereka terdiri daripada ex-MPP sama ada sudah bekerja atau yang masih belajar. Pemantau inilah yang akan menjalankan kem-kem kepimpinan kepada bakal calon MPP.

 

Setiap masalah calon boleh dirujuk kepada mereka. Tetapi masalah tetap timbul. Isu sabotaj tetap berlaku kepada calon walaupun di UiTM semua calon bertanding atas tiket individu dan tidak dibenarkan membuat pakatan atau parti. Ia berbeza dengan universiti lain yang mempunyai dua aliran pemikiran. ProAspirasi dan Pro Mahasiswa.

 

Setiap kali pilihanraya pasti akan ada sabotaj. Siapakah dalang di sebalik semua ini? Kebanyakan sabotaj berlaku terhadap calon bukan pilihan. Calon bukan pilihan boleh dikatakan calon bebas yakni calon yang tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana kelab atau berkaitan dengan SMF. Hal ini kerana calon SMF ialah calon yang dipilih oleh mantan MPP dan sekretariat. Tambahan pula, kempen mereka akan dibantu oleh SMF dan calon ini selalunya akan menang. Tidak dua, salah satu akan menang.

 

Calon yang bukan pilihan menghadapi masalah akibat sabotaj yang dijalankan. Permainan politik di kampus sangat kotor walaupun semuanya sebangsa dan seagama. Tampak aman tetapi sebenarnya bergelora. Hal ini kerana pilihanraya kampus tidak dipantau oleh mana-mana badan bebas dan SUHAKAM juga tidak dibenarkan memantau.

 

Poster calon dicabut sesuka hati dan dicampakkan ke dalam tong sampah. Bukan semua yang dicabut, kadang-kadang hanya seorang calon yang terkena. Yang peliknya hanya calon bukan pilihan yang menjadi mangsa. Menurut Skuad Pemantau, mereka berjaga siang dan malam tetapi hal ini tetap berlaku. Bukan itu sahaja. manifesto calon dipalsukan dan ditampal di merata tempat. Semuanya dilakukan dalam satu malam dan pasti ramai yang menjadi tali barut.

 

Bertambah pelik bin ajaib, ke manakah Skuad Pemantau Pilihanraya atau pak guard yang menjaga fakulti? Setiap manifesto palsu yang ditampal mempunyai cop universiti yakni ia disahkan oleh pihak HEP atau Skuad Pemantau. Maknanya manifesto itu dihantar kepada mereka untuk mendapatkan cop. Tetapi, mengapa mereka sahkan? Apabila aduan dibuat, mereka menafikan dan berjanji untuk menyiasat aduan tersebut.

 

Selain itu, manifesto tersebut diedarkan dengan banyaknya di setiap kelas dan disebarkan pada hari terakhir sebelum pembuangan undi supaya calon tak dapat membela diri. Surat sulit mengenai penglibatan calon dalam SMF juga dihebahkan di sekitar fakulti. Mana mungkin surat itu disebarkan jika ia tak dilakukan oleh orang dalam. Semuanya penuh tanda tanya.  Secara keseluruhannya, pilihanraya kampus universiti tidak pernah aman. Tragedi ini sudah berlaku setiap tahun. Mereka yang menjadi dalang masih bermaharajalela.

 

Paling mengejutkan, mereka sanggup membuka akaun facebook dan menyebarkan propaganda untuk menjatuhkan calon bukan pilihan. Nama dan tempat samaran digunakan untuk mempromosikan manifesto palsu. Tidak ramai yang menyangka begitu teruk dan kotornya politik kampus. Mereka inilah sebenarnya pengecut dan perosak bangsa kerana mencabul demokrasi. Sehingga kini, aduan yang dibuat kepada skuad pemantau masih senyap. Tiada siasatan yang dilakukan.

 

Tidak lama lagi pilihanraya kampus akan berlangsung. Hal ini pasti akan berulang lagi. Untuk bakal calon, berhati-hatilah. Politik kampus semakin kotor dan keji. Kepada pihak yang melakukan, mungkin anda terlepas kali ini, tetapi ingat ada mahkamah yang lebih besar di akhirat nanti. Walau apapun alasan anda, hatta untuk bangsa sekali pun, salah tetap salah. Matlamat tidak pernah menghalalkan cara.

 

 

ditulis oleh: Si Kancil

 

Posted in: Si Kancil