Pesan untuk calon Pro M UiTM

Posted on February 20, 2011

5


Setelah sekian lama perbincangan berlaku untuk meletakkan calon Pro Mahasiswa(Pro M) bertanding di Pilihan Raya Kampus(PRK) UiTM Shah Alam tampak hampir menjadi kenyataan. Februari 2011 akan menjadi saksi. Semua pihak yang telah banyak membantu di dalam usaha mewujudkan proksi ini adalah amat dipuji. Rancangan ini juga telah dipermudahkan lagi dengan kerjasama yang tidak berbelah- bagi dari calon-calon Pro M sendiri kerana kesediaan mereka untuk membawa perubahan yang segar di dalam sistem politik mahasiswa UiTM Shah Alam.

Pro M telah dihalang kewujudannya di UiTM kerana UiTM menganggap kesemua mahasiswa Pro M adalah pro terhadap parti pembangkang Malaysia. Hanya calon Pro Aspirasi sahaja dibenarkan kerana bagi mereka calon Pro Aspirasi adalah pro terhadap parti pemerintah Malaysia.

Selain daripada itu, UiTM tidak mempunyai kerusi umum di PRK UiTM. Dimana kerusi umum tersebut boleh dipertandingkan kepada mana-mana wakil mahasiswa sepertimana yang berlaku di universiti-universiti lain Malaysia seperti di Universiti Malaya(UM), Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa(UIA). Oleh itu, calon Pro M UiTM kali ini akan bertanding  sebagai  calon Pro Aspirasi sebelum mereka memperkenalkan diri mereka  sebagai Pro M selepas mereka memperoleh kemenangan pada PRK nanti. Dan seterusnya akan melaksanakan ’12 Manifesto Umum’.

Tulisan ini juga berharap kepada calon-calon Pro Mahasiswa UiTM supaya TIDAK akan sekali-kali ‘berpaling’ apabila berjaya memenangi kerusi MPP pada hari Selasa nanti. Kalian semua telah berusaha dengan gigih untuk menjadi calon, jangan sesekali kalian berubah hati apabila sudah mendapat jawatan MPP UiTM minggu hadapan. Mungkin ada dikalangan kalian akan diganggu dengan ancaman, dijanjikan berbagai-bagai kesenangan, juga tidak lupa akan di’momok’kan dengan isu-isu kehilangan hak keistimewaan orang Melayu/Bumiputera. Apa pun yang akan terjadi, tulisan ini sangat berahi untuk melihat kalian semua teguh dengan pendirian masing-masing. Mahasiswa yang bersikap adalah mahasiswa yang hebat!

Salam perjuangan untuk kalian semua wahai calon mahasiswa Pro M di UiTM. Semoga kalian dapat membawa dan menjayakan ‘12 Manifesto Umum’ yang kalian sendiri perjuangkan, dan juga dapat membawa suasana politik yang lebih meriah di UiTM Shah Alam.

Selamat berjuang Pro M…!!

 

Posted in: Dee Moro