Gelombang Hip Warna Kuning #BERSIH2.0

Posted on July 1, 2011

9


Perkataan BERSIH tidak lagi membawa maksud suci. Sebaliknya, ia telah diselaputi dengan seribu kekotoran dek hamburan propaganda komunis, anti Islam dan penentangan YDPA. Segala propaganda yang giat diaktifkan di media kini telah menjadikan ramai aktivis dan NGO mangsa segala tohmahan yang tidak tepat. Sehingga ke hari ini, semua tangkapan hanya berdasarkan ‘reasonable suspicion’ yang dimiliki oleh pihak polis. Perhimpunan belum berlaku tetapi sudah ramai yang telah ditangkap.

Sesungguhnya demokrasi dan liberalisasi yang dijanjikan dalam SatuMalaysiahanyalah retorik. Kita sudah kembali ke zaman Operasi Lalang di mana ramai aktivis, ahli pembangkang yang menjadi mangsa ISA. Cuma kali ini, skrip ditulis oleh orang yang berbeza. Sentimen keagamaan dan bangsa dimainkan sewenang-wenangnya sehingga Dato Ambiga yang merupakan bekas Presiden Bar Council menjadi mangsa tohmahan anti Islam akibat beliau pendukung kepada pembentukan IFC dan Lina Joy.

Kalau dikaji dari aspek perundangan, setiap rakyatMalaysiadijamin haknya untuk berhimpun dengan aman seperti yang termaktub dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan. Demonstrasi adalah budaya kita atau tidak bukan isu utama sebaliknya hak setiap rakyat untuk berhimpun harus dihormati seperti mana pelajar UiTM yang berdemonstrasi di Shah Alam.

BERSIH hadir dengan satu impian dan harapan supaya pilihanrayaMalaysiatidak dicemari dengan elemen-elemen politik kotor, keadilan terhadap calon yang bertanding dan mengembalikan legitimasi kuasa rakyat yang diterjemahkan melalui undi. Niat murni Ambiga dan rakan-rakannya harus diperhalusi satu persatu tanpa prejudis. Perdebatan terhadap 8 tuntutan BERSIH harus dilakukan. Rakyat harus diajak bersama-sama terlibat bukan sahaja semasa membuang undi sebaliknya untuk mengembalikan keadilan dalam pilihanraya.  8 Tuntutan BERSIH adalah tuntutan yang munasabah menjangkaui sebarang sentimen keagamaan, bangsa, fahaman politik dan usia. Mahasiswa juga berhak terlibat sama kerana inilah pentas demokrasi yang diharapkan olehMalaysia.

Tuntutan BERSIH yang pertama ialah membersihkan senarai nama pemilih yang menimbulkan masalah pengundi hantu. Hal ini penting kerana sudah acapkali berlaku. Pembersihan ini penting supaya hak rakyat tak dinafikan melalui pengundi hantu.

Tuntutan kedua ialah penghapusan undi pos. Pelbagai isu di sebalik undi pos sehinggakan ia tak lagi relevan melainkan khas untuk pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas di luar negara atau pihak berkuasa yangs edang bertugas. Undi pos ini telah dikesan digunakan oleh sesetengah parti sebagai ‘bantuan oksigen’ supaya parti tersebut berjaya memenangi pilihanraya. Bukankah tuntutan ini baik dan langsung tak bercanggah dengan agama Islam dan bangsa Melayu yang menjunjung adab dan jati diri?

Tuntutan ketiga yang tidak kurang pentingnya ialah penggunaaan dakwat kekal untuk pengundi supaya tidak berlaku pengundi mengundi dua kali. Namun, tuntutan ini dimansuhkan di saat akhir pada pilihanraya yang lalu. Justeru, BERSIH tampil dalam 2.0 menggesa penggunaan dakwat kekal ini. Lihat, sekali lagi tuntutan ini rasanya tidak langsung membawa sentimen komunis. Hal ini kerana dalam kerajaan komunis, mereka tidak mengamalkan demokrasi apatah lagi pilihanraya yang bebas.

Tuntutan keempat ialah kempen pilihanraya seharusnya tidak kurang daripada 21 hari. Tuntutan ini dianggap penting supaya pengundi mempunyai masa yang secukupnya untuk mendengar dan mengkaji manifesto daripada parti-parti politik. Untuk pengetahuan, pilihanraya umum 1955 semasa zaman kolonial British lebih lama yakni 42 hari berbanding selepas merdeka iaitu selama 8 hari sahaja. Tuntutan ini perlu kerana pengundi bukan untuk memilih baju atau makanan sebaliknya memilih kerajaan yang bakal menentukan untung nasib negara dan diri mereka sendiri. Sehingga tuntutan keempat, adakah sebarang elemen yang bakal mengundang murka Yang diPertuan Agong? Frasa dan kosa kata manakah yang bakal mencalit kemuliaan raja berperlembagaan kita? Tepuk dada tanya selera.

Tuntutan kelima ialah media yang bebas dan adil. Inilah tuntutan yang merupakan isi penting dalam tuntutan BERSIH. Tanpa media adil dan bebas, perhimpunan BERSIH ini juga sudah menjadi ‘kotor’. Isu ini sudah biasa diperkatakan namun, ia masih kekal sehingga kini. Sebagai negara demokratik seperti yang tercatat di Preamble Rukun Negara, media harus memberi dua sudut pandang yang jelas kepada masyarakat. RTM,TV3 dan UtusanMalaysia harus menjadi media yang melihat sesuatu isu dengan kritikal tanpa berpegang kepada ideologi politik semata-mata. Persoalannya, dari sudut manakah tuntutan keempat ini akan mengancam keselamatan dan keamanan negara? Dan dari aspek manakah kebebasan media bakal menghancurkan Melayu di bumiMalaysia ini? Sekali lagi, akal anda harus menjawabnya.

Tuntutan keenam ialah mengukuhkan institusi-institusi awam seperti SPR, polis, Jabatan Peguam Negara dan SPRM. Hal ini penting untuk memastikan institusi awam melaksanakan tugas dengan adil dan bebas daripada pengaruh politik. SPR harus melaksanakan pembaharuan demi pembaharuan supaya pilihanraya diMalaysia kelihatan relevan. Pelbagai kisah pilihanraya yang menggambarkan ketidakadilan pihak polis dalam melaksanakan tugas dan SPR yang kelihatan berat sebelah. Hal ini harus diperbaiki agar hak rakyat tidak dinafikan. Tiada satu pun tuntutan yang berkaitan dengan bangsa dan agama. Segala tuntutan ini bersifat universal.

Tuntutan ketujuh ialah penghapusan bentuk korupsi yang acapkali digunaka sewaktu pilihanraya untuk membeli undi. Dana kerajaan digunakan sewenang-wenangnya untuk menaja kempen parti. Bukankah di waktu pembubaran Parlimen, tiada kerajaan melainkan kerajaan sementara? Tetapi di Malaysia pemisahan tampak tiada lantas berlaku begitu banyak salah guna kuasa dan korupsi yang akhirnya meleburkan wang rakyat. Sekali lagi, tuntutan ini munasabah dan perlu supaya dasar integriti yang dicanangkan oleh kerajaan menjadi kenyataan. Tiada secebis elemen keganasan melainkan rakyat perlu tahu tentang pilihanraya yang sebenar diMalaysia.

Tuntutan terakhir ialah penghapusan politik kotor. Politik kotor ialah politik fitnah, politik yang mengaibkan, politik perkauman dan agama. Kesemua politik ini hanya menimbulkan perasaan benci dan meletakkan akal fikiran di tempat kedua selepas emosi. Kita sudah bosan dengan sebarang fitnah dan sentiment yang dijadikan rakyat Malaysia semakin berpecah. Acapkali kini, PERKASA mengeluarkan sentimen berbau perkauman tanpa menjaga sensitivity kaum malah menjauhkan semangat Satu Malaysia di kalangan rakyat. Malaysia perlukan politik baru yakni politik kelas pertama yang mengangkat idea dan dasar untuk kepentingan rakyat. Seperti yang pernah dikatakan, “small people talk about other peopla, average people talk about things and great people talk about ideas”.

Secara rangkuman, niat dan tujuan BERSIH masih ‘bersih’. Kalau ditanya pada pemerintah hatta pihak polis, mereka pasti bersetuju dengan tuntutan ini. Namun, mengapa ia harus dijadikan isu?? Mengapa Ambiga pula dijadikan sasaran anti Islam?   Seharusnya kita sebagai anak muda harus berfikir adakah berdosa untuk bersetuju dengan Ambiga dalam soal pilihanraya? Kita harus menilai isu, dan bukan siapa di sebaliknya. Tambahan pula, Ambiga langsung tak menyebut mengenai isu Islam.

BERSIH sudah lari tajuk. Ramai yang tak menyokong perhimpunan ini kerana ia bakal menjadi rusuhan.Adajuga yang mengatakan perhimpunan ini bakal merugikan ekonomi negara. Begitu banyak telahan yang dibuat untuk menidakkan BERSIH. Namun, pokoknya adalah demokrasi dan hak. Perhimpunan BERSIH belum tentu menjanjikan rusuhan. Ia hanya perhimpunan aman untuk menyerahkan memorandum kepada YDPA. Tidak timbul isu agama,bangsa, keselamatan negara dan rampasan kuasa. Kalau mahu difikirkan secara rasional, kerajaan demokrasi akan menyokong dan mengawal BERSIH agar ia mencapai objektif. Perhimpunan PERKASA dan Patriot pula yang sepatutnya nampak lebih berbahaya kerana bersifat menggugut yang bakal menimbulkan kekacauan.

Apa yang penting, hak berhimpun adalah milik rakyat bebas. Kita mengecam komunis, namun, ironinya dasar menyekat perhimpunan aman dan menangkap mereka yang memiliki baju BERSIH adalah cara komunis seperti zaman Mao Zedong. Kita terbelit antara fahaman komunis dan laungan demokrasi sempit.

Isu BERSIH boleh diselesaikan dengan berpandukan Perlembagaan dan kawalan pihak polis. Tidak perlu tuduhan palsu apatah lagi perhimpunan balas Patriot dan PERKASA pada hari yang sama. Anak muda harus berubah. Kita bakal generasi penentu untuk pilihanraya akan datang. Sama ada anda mahu segala kebobrokan dan sentimen dimainkan untuk 50 tahun akan datang atauMalaysiabaru yang bakal menjunjung tinggi Perlembagaan dan demokrasi. Terpulang kepada anak muda hari ini untuk membuat keputusan. Barangkali negara-negara maju bergelak ketawa dan tersenyum sinis melihatMalaysiayang berbangga dengan transformasi ekonomi dan demokrasinya tetapi masih mengamalkan dasar ortodoks untuk menyekat pemikiran rakyat.

Ayuh anak muda!!! Mari menyokong BERSIH 2.0!!! Tiada agenda lain selain kebebasan pilihanraya! Yakinlah anda mampu  mengubahnya..

di olah oleh: Brader Mekong

Posted in: Brader Mekong