Satu Perspektif Forum ” Bersekutu Mendesak Perubahan” anjuran Solidari Anak Muda Malaysia.

Posted on December 5, 2011

0


Lokasi : Dewan Melur, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Tarikh : 3 Disember 2011

Ahli Panel : Profesor Abu Hassan Hasbullah (Zentrum Future Studies)

Profesor Zainal Abidin Kidam ( Biro Pendidikan PAS Pusat)

Moderator : Amin Iskandar

Nukilan ini,bukan niatnya mahu menafi sanggah buta buta apa yang diutara malam ini, bukan niat memaksa setuju sudut pandang kecil ini, jauh lagi mahu memeras mengambil yang bukan hak, tentang perkara perkara yang diucap oleh sang panelis.

Permulaan forum ini, langsungnya dalam fokus, mengapa perlunya satu perubahan itu didasari, atas dasar dasar penghayatan akan apa yang berlaku pada masa hadapan, di mana soal korupsi, salah urus tadbir adalah tunjang kepada perlunya perubahan.

Laporan Audit Negara, beban hutang Negara, kerapuhan masyarakat, runtuhnya segala maha sistem yang mengakar akhirnya pada masyarakat kita adalah contoh contoh terbaik untuk meletakkan minda waras pada pacuan perubahan.
Ini maha soal yang wajib diberi panduan untuk kita mendesak ubah.

Dan ya, soal anak muda di mana perihal masa depannya gelap, bagaimana asasi hari hari, makanan ke pakaian, menjadi soal dan isu tarung yang benar benar relevan dalam menyegerakan perubahan untuk hadir, khususnya dalam masyarakat ini.

Dan di sini, secara peribadi, rompongnya diskusi forum muncul, di mana soal peralihan kuasa semata mata menjadi teras kepada perlunya desakan perubahan. Soalnya, kita harus berlaku jujur, perubahan bukan milik total pada parti politik, ideologi politik majoriti-minoriti yang menjadi asas ini semakin menampakkan satu kebrobokan yang jelas.

Hiper-bi-partisan wajar diberi penekanan yang serius, kernanya, sering kali kita membahagi bahagi pandangan adalah bukan berdasar kepada fakta “mentah”, sebaliknya yang sudah di”goreng” rapi dengan sebanyak mungkin rempah fitnah dan diversi isu ilusi.

Segala bentuk acuan, untuk perubahan bukan lagi atas sebenar benar empirikal atas penelitian isu, tetapi dangkalnya kita, ya, kita sebagai rakyat untuk ke hadapan dalam menjamin kemandirian sesebuah pergerakan yang benar benar menjamin perubahan, bukan kerana taksub kepartaian.

Meminjam kata ahli panel, Profesor Abu Hassan Hasbullah, ” sistem itu proses, politik itu langkah”. Soalnya, jika pemaknaan rigid, pemaknaan sempit menurut pandangan parti politik semata mata, ia pastinya sesuatu yang menyesakkan, kerna capaian teragung bagi mana mana parti ialah untuk memenangi kesemua kerusi yang ditandingi, bukan semata mata mahu untuk bersuka suka.

Jelas, tugasan wahid parti politik ialah untuk memenangi pilihanraya, jadinya putaran kepada peminggiran dan penindasan rakyat pastinya akan terus berlaku, jadi di mana kekuatan masyarakat itu untuk segera mengeluarkan diri mereka dari kancah kesempitan pandangan parti politik ini, jika bukan dengan proses pendidikan yang berterusan, istiqamah yang wajibnya bersifat asasi, bukan pada asas moraliti.

Moraliti di sini ialah penekanan kepada sudut pandang holistik, bahwa kecelakaan dan kebrobokan bukan milik mana mana partai politik, sebaliknya ketidakupayaan masyarakat kita untuk meletakkan asasi sebagai panduan kepada moraliti, segera menyukarkan kepada tujuan asal politik itu sendiri sebagai langkah, dan baik pulih sistem adalah sesuatu yang bersifat utopian dan janggal.

Kerna masing masing (dalam parti), katanya mendokong wadah rakyat, dari ilusi agama, dari cerminan bangsa, dari baka taksuban sehingga menggalak polarisasi untuk menjadi satu macam kemestian, bahwa untuk berubah, adalah wajib bagi kamu untuk membenci, bukan sekadar pada parti, sebaliknya pada keseluruhan komponen partai tersebut, hingga ahli partai menjadi bahan bantaian. (ini tidak tertakluk semata mata pada forum ini).

Dan segera, satu takat moral politik olok olok diletakkan, kepada keseluruhan parti, kononnya beda parti, segera kebenaran adalah milik mereka. Dan lebih menggusarkan, perlakuan kebencian (ya, pada penindasan, bukan kepada polarisasi) bagaikan satu keperluan untuk mendesak perubahan.

Yang pasti, pacuan kepada perubahan, semata mata untuk meneruskan bibit kebencian adalah sesuatu yang tidak revolusionari, di dalam konteks di mana, kebencian pada dasar permukaan polisi dan implementasi, dan bukan kepada mehnah mehnah alamiah ( pemahaman bahwa korupsi itu turut akan berlaku, selagi kita ini berpangkat manusia yang penuh cela), di mana kesedaran bahwa” power is corrupt, absolute power is corrupt absolutely” wajib menjadi dokongan rasional bagi menanam satu wadah perubahan asli.

Seringkali, perubahan perubahan yang datang, mengikut lembar sejarah, adalah satu peristiwa, yang libatnya nyawa nyawa masyarakat yang mahu sebenar benar pembebasan, bukan sekadar perubahan, lebih lebih lagi edan zaman ini, dari faktor kulitnya, gelojak gelojak parokial sempit dan keruntuhan pada ide ide lama, dan isinya, kecamuk kecamuk struktur tadbir yang memerlu pada penghayatan apa itu ertinya manusia, apa ertinya menghamba pada sebenar benarNya.

Di dalam buku “Pedagogi Kaum Tertindas” karya Paulo Freire, pembahagian jelas berlaku dalam jalur sang penindas dan si tertindas, di mana si tertindas yang akhirnya upaya untuk keluar dari kepompong tindas, akhirnya menjadi sang penindas yang baru, dan logik ini tidak termaktub kepada partai politik semata mata, kecuali kepada tuntas masyarakatnya di pengisian perubahan ini harus diisi sebaik baik benih ikhtiar manusiawi, agarnya ke julai menjulang awan ketamadunan.

Prasangka ini bukanlah tanpa asas, kecuali jujurnya sebuah sejarah mencatit perihal perihal kemuncak dan kejurangan ketamadunan, dari dalam bentuk khayalan Puteri Gunung Ledang* kepada bentuk peristiwa insaf runtuhnya Kerajaan Melayu Melaka** yang berlakunya, bukan sia sia jika bukan memberi akan waspada pada kelompok kita kita ini yang dahagakan sebuah perubahan yang mampan dan mandiri sifatnya.

Akhiri nukilan kecil ini, adalah pada kita terletak tanggungjawab makalah perubahan ini dengan bibit negarawan Dr Burhanuddin Al Helmy yang tidak didendang aparat tetapi tidak pernah dilupa watan bisa dijadi panduan, kernanya bercatit kebenaran akan titip perubahan, bacalah,

“Di atas robohan kota Melaka

Kita bangunkan jiwa merdeka

Bersatulah Melayu*** segenap baka

Membela hak keadilan pusaka”.

-Nota kaki :

* perihal Puteri Gunung Ledang, analogi simbolisme yang diberi oleh Profesor Abu Hassan sangat bersemangat kontemporari, kernanya setiap pemaknaan ketetapan dalam tuntutan (situasi) Puteri Gunung Ledang untuk mengahwini Sultan (aparat) adalah merupakan rintihan tersirat yang relevan, hingga ke hari ini.

**perihal bibit keruntuhan Kerajaan Melayu Melaka ialah peranan korupsi dalam porak peranda institusi berkerajaan itu sendiri, keengganan untuk menganuti pembaharuan, menganuti perubahan, ialah titik tolak mundur sebuah tamadun.
*** pemaknaan Melayu oleh Dr Burhanuddin Al Helmi merupakan sesuatu yang benar benar progresif dan akomodatif berprinsip dengan situasi. berkenaan petikan berkenaan pemaknaan Melayu oleh Dr Burhanuddin Al Helmi,

“Bagi Dr. Burhanuddin, konsep kewarganegaraan Melayu dan idealnya mengenai Kebangsaan Melayu adalah jauh sama sekali dari tujuan mencetuskan permusuhan dan sengketa antara kaum. Sebaliknya ia bertujuan untuk menjadi asas kepada satu perpaduan nasional yang unggul. Beliau tidak memperjuangkan dengan niat buruk terhadap cara hidup dan sifat-sifat peribadi bukan bumiputera. Malah beliau menegaskan bahawa penukaran kebangsaan itu tidaklah turut bertukar darah baka, bangsa keturunan dan agama sesuatu kaum kerana perkara ini termasuk di dalam kuasa perasaan dan kebiasaan seseorang, tetapi kebangsaan itu termasuk di dalam kuasa undang-undang dan politik. Jelasnya sekalian sifat peribadi yang diwarisi turun-temurun itu tidak akan berubah oleh suatu perlakuan politik seperti memilih kewarganegaraan. Dengan itu Melayu adalah nama warganegara Persekutuan Tanah Melayu dengan tidak membezakan keturunan bangsa masing-masing. Malah setiap warganegara adalah setia dan kukuh kepada Kebangsaan Melayu.”

Posted in: Ahmad Albab