#OccupyUitm

Posted on December 14, 2011

3



Revolusi kini telah menembusi pasaran baru yang hangat dan kontroversi. Tatkala kebanyakan mahasiwa dalam tak sedar tentang keadaan sekeliling, dibelengggu oleh bayang-bayang pemikiran ultra-melayu kononnya “mereka” perihatin tentang anak bangsa dan ketakutan mereka akan perpecahan anak bangsa di institusi pendidikan bumiputra Uitm.
Saat menginjakkan kaki ke dalam Uitm, kami disambut dengan sekatan jalan raya yang pertama. Pengenalan diri diminta, disahkan dan dibenarkan masuk. Perkataan ‘selamba’ diucapkan namun debaran tak dapat disangkal. Mana tidaknya, pertama kali program seumpama ini dianjurkan di kawasan yang asing bagi aktivis pro-rakyat. Setelah sampai di perkarangan Dataran Cendiawan kami disambut oleh sahabat iaitu pihak penganjur yang tampak resah namun optimis, kelihatan juga kelibat agen provokator yang memerhati gerak-geri kami sambil menyelak kain tudung di gerai jualan berdekatan. Gayanya sudah seperti pegawai ‘SB’. Begerak ke satu kawasan lagi dan diperkenalkan dengan rakan-rakan dari Institusi pendidikan lain yang juga tidak mahu terlepas dari merayakan kebebasan barsuara mahasiswa pada malam tersebut.
Keadaan kawasan agak sibuk dengan pelajar-pelajar yang ingin menjamu selera dan bersantai. Program dimulakan sebaik sahaja seorang lagi sahabat pejuang yang agak popular dikalangan aktivis-aktivis muda tiba di lokasi. Ucapan alu-aluan diberikan dan dituruti pula dengan ucapan yang manyanjung  jasa baik perdana menteri Malaysia yang telah memansuhkan Akta AUKU baru-baru ini. Diteruskan  lagi dengan tugas dan peranan mahasiswa di dalam menentukan masa depan dan hala tuju negara serta nasib rakyat amnya. Ucapan bejaya menarik minat pelajar-pelajar di sekeliling untuk mendengar dengan penuh minat. Mata-mata mereka diisi dengan perasaan ingin tahu, apakah yang sedang benar-benar berlaku. Barang kali mereka terpaku deucapan seumpama ini yang tidak pernah diperdengarkan di bumi Uitm. Tiada siapa menyangka ada kumpulan yang cukup berani untuk menyampaikan mesej berunsur mengajak kepada kesedaran mahasiswa di pusat pengajian yang menjadi kediaman kepada pelajar bumiputra yang mejoritinya berbangsa melayu.
Dalam beberapa minit berselang, ketika lunak suara pemidato bergema di telinga para pendengar, muncul ‘entiti’ asing dan mula berkumpul di sekitar kawasan tersebut lalu mencelah dan meminta saudara pemidato untuk turun dari aras bibir kolam tempat beliau berdiri. Pada mulanya beliau enggan melakukan demikian dan meminta diberikan sedikit masa lagi dan akan memberi ruang bagi sesiapa yang ingin memberikan ucapan susulan setelah selesai ucapannya. Namun lelaki berkenaan berkeras agar ucapan diberhentikan serta-merta tanpa sebarang budi bicara. Keadaan mula tegang apabila mereka mula berkumpul di tengah-tengah kelompok  dan mula memaki hamun pihak penganjur dan menggunakan kekerasan untuk menghalau pemidato dari kawasan berkenaan. Tidak cukup dengan itu, mereka mempelawa salah seorang dari pihak penggerak sudut pidato untuk bertumbuk.
Di dalam kekecohan tersebut, pemidato dan individu terbabit telah ditahan polis bantuan Uitm kerana didakwa menimbulkan kekecohan dan juga tidak mendapat kebenaran unuk menjalankan akiviti. Walhal, pihak yang benar-benar membuat kekecohan tidak diapa-apakan. Adakah kumpulan ini maksum sehingga kesalahan yang mereka lakukan tidak diambil tindakan sama seperti kumpulan yang ingin memberi pengucapan awam yang aman dan berbentuk ilmiah di pusat pendidikan. Siapakah sebenarnya mereka ini ?..
Inikah kualiti sebenar sebuah universiti yang mengangkat hak orang-orang bumiputra khususnya bangsa melayu ? Ini bukanlah budaya yang sepatutnya ada dalam suatu institusi pendidikan, dimana sebarang idea dan buah fikiran yang kontradik dengan hasrat kerajaan langsung tidak diberi muka dan dan ditegah sama sekali. Program yang telah disusun ini sebenarnya ingin mengangkat taraf pendidikan di Uitm. Dengan masih adanya Akta 174 yang masih lagi diguna pakai di Uitm dikala saudaranya telah dimansuhkan, kebebasan akademik,bersuara dan berfikir secara kritikal akan terus dicatu. Hak-hak ini yang ingin kita kembalikan kepada pelajar agar mutu berfikir para mahasiswa tidak lagi dipetakkan oleh propaganda kerajaan yang ingin mendokrinkan mahasiswa. Ini adalah supaya pelajar tidak hanya dibantu agar hanya pandai bersyukur seadanya dan hanya menjadi pak turut kepada segala agenda kerajaan yang korup.
Posted in: Taksub Dunia