Hak Dan Realiti Dalam Demokrasi

Posted on December 28, 2011

1


Kebebasan adalah hak setiap insan yang hidup dimuka bumi ini, tida siapa yang mampu memberi mahupun menarik hak tersebut dari mana-mana individu. Tidak kira sama ada hak bersuara,hak berkumpul ataupun hak mendapatkan maklumat. Hak-hak ini merupakan asas kepada seorang insan yang membezakan kita dengan dengan makhluk lain yang wujud. Sebarang sekatan keatas mana-mana individu atas dasar yang sangat tidak munasabah harus ditentang. Sebarang cubaan untuk menyekat hak dan kebebasan rakyat boleh dilihat sebagai usaha untuk menutup mulut dan mengikat tangan dan kaki rakyat dari menyuarakan pendapat dan bertindak terhadap sebarang ketidak adilan dalam masyrakat yang mengambil kira kepentingan umum.

Jika kita lihat sudah banyak artikel-artikel dan buku-buku yang ditulis dan aktiviti berbentuk demo,mogok ataupun piket bagi menyuarakan penindasan hak. Selain itu, ia bertujuan untuk memupuk kesedaran umum masyarakat terhadap penindasan yang berlaku. Tetapi masih ramai yang mengambil tindakan memekakkan telinga dan membutakan mata dek kerana beberapa kepentingan individu yang dirasakan akan ditarik sekiranya mereka turut sama menentang. Ini adalah persepsi biasa yang ingin ditimbulkan oleh puak penindas yang tidak mahu terdapat kesinambungan terhadap penentangan ini.

Masyarakat seharusnya melihat kepada peluang yang lebih luas di hadapan mereka. Menilai kepentingan masa panjang yang menanti, tidak hanya tindakan baik oleh pihak penindas seperti pemberian bantuan atau suapan tidak langsung, dimana bantuan atau pemberian ini adalah sememangnya merupakan hak-hak rakyat yang diagihkan untuk meraih sokongan rakyat yang hidup dalam kesusahan. Kita perlu sedar bahawa kita tidak perlu menagih simpati ihsan dari mana-mana pihak kerana apa yang telah mereka berikan adalah sememangnya hak kita dan kita sepatutnya mendapat lebih dari apa yang kita lihat sebagai ihsan dari kerajaan.

Semangat terlampau partisan harus dibuang dalam benak fikiran kerana semangat ini bukan sahaja merugikan kita malah turut memberi kemenangan kepada ahli politik yang seharusnya bekerja untuk rakyat. Mengapa taksub terhadap parti apabila kita boleh mendapat lebih dengan cara sebaliknya. Bukannya kita mahu mempergunakan ahli politik, realitinya memang begitu. Mana-mana parti politik yang tidak mendokong hak, kepentingan dan kebajikan rakyat kita tolak dan begitu juga sebaliknya. Di dalam sistem demokrasi yang digunapakai di Negara kita sekarang, perlu terdapat keseimbangan antara parti politik.

Kuasa yang mutlak  akan menjurus kepada salahguna kuasa. Kerajaan tidak harus kekal terlalu lama bagi mencari keseimbangan demokrasi. Ini tidak harus dilihat sebagai tindakan menetang kerajaan tatapi merupakan norma yang perlu kita ambil kira. Realiti ini cuba disorokkan daripada mata rakyat dengan mengancam mereka dengan ugutan seperti hak-hak kaum tertentu akan terhapus sekiranya rakyat memilih parti lain untuk mengusai pimpinan negara. Rakyat harus bijak dalam menilai sebarang tindakan dari mana-mana pihak dan harus kita lihat sebagai propaganda politik. Mereka sekadar menggunakan nama pimpinan mereka terdahulu yang mengangkat hak suatu kaum berpuluh-puluh tahun lalu bagi mengekalkan kuasa.

Kita perlu sedar hak-hak kita sebagai rakyat. Tolak sebarang bentuk penindasan dan salahguna kuasa. Jangan kita menjadi mangsa kepada kerakusan ahli politik yang ingin mengejar kepentingan peribadi. Namun, apa yang kita mahu adalah kepentingan dan kebajikan kita sebagai rakyat terjaga dan terus dijaga oleh pemimpin yang kita pilih bagi memeliharanya. Buang semangat terlampau cintakan parti dan jadilah seorang oportunis yang positif kearah kebaikan dan kebajikan bersama. Ingatlah bahawa kita sendiri menentukan nasib hidup kita dan generasi akan datang. Terap semangat dalam diri yang tidak mahu lagi menjadi mangsa kepada sebarang bentuk penindasan.

Posted in: Taksub Dunia